Rancang bina pusat latihan pengakap di Teluk Senangin

Ahmad Azam dan Zainol Fadzi bersama sebahagian ahli pengakap Perak.
Ahmad Azam dan Zainol Fadzi bersama sebahagian ahli pengakap Perak.
A
A
A

IPOH - Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Perak merancang untuk membangunkan sebuah pusat latihan pengakap di Teluk Senangin pada masa akan datang.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Ahmad Azam Shah Abdul Majid berkata, pusat latihan berkenaan akan didirikan atas tanah yang diberikan oleh kerajaan negeri baru-baru ini.

“Tanah tanah tersebut akan kita bangunkan sebagai pusat latihan pengakap selain menjadi medan pertemuan dan pusat aktiviti pengakap. Selama ini pun kita memang mengimpikan untuk memiliki kem khusus untuk pengakap.

“Pusat latihan yang akan dibina di salah sebuah pusat peranginan itu diharap mampu mencetuskan inspirasi latihan untuk anak-anak pengakap di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan mungkin kita juga akan buka kepada peringkat antarabangsa kelak,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Azam berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Sambutan Hari Pengasas Pengakap Sedunia Peringkat Negeri Perak 2019 di Dewan Besar SMK Jelapang Jaya.

Hadir sama, Penasihat Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Sempena majlis berkenaan, pihak PPM Negeri Perak telah memberikan Anugerah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri kepada tiga penerima, Anugerah Jasamu Dikenang (11) Anugerah Pencapaian Excellent (7), Anugerah Kepimpinan B-P (11) serta Anugerah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara 2019 kepada 98 penerima.

Tambah Ahmad Azam pusat latihan berkenaan akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti penginapan, asrama, dewan selain kita juga mungkin buka untuk pihak lain yang mahu menggunakan pusat berkenaan sebagai pusat latihan.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, kita baharu sahaja dalam proses penyediaan tapak bagi membina pusat berkenaan di Teluk Senangin.

“Sebagai makluman juga, pejabat kita telah berpindah ke Pusat Komersial Jelapang (Jelapang Avenue).

“Insya-ALLAH, pejabat pengurusan pengakap yang baharu ini dijangka akan mula beroperasi mulai 1 Mac depan dan dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,” katanya.

Sementara itu Zainol Fadzi berkata, majlis tahunan itu secara keseluruhannya bertujuan untuk menghargai jasa dan sumbangan individu-individu yang pernah berkhidmat dalam pengakap sama ada di peringkat daerah atau negeri.

Katanya, penganjuran majlis sedemikian juga akan dijadikan sebagai peringatan kepada generasi muda untuk memperingati individu yang mengasaskan pengakap hingga ke seluruh dunia.

“Malaysia adalah antara 170 negara yang ada empayar pengakap terbesar. Sudah tentu kita akan hargai individu-individu berkenaan. Lagipun, mengikut sejarahnya, pergerakan pengakap sudah mula wujud di negara ini sejak 1926 lalu,” katanya.