KRT perlu main peranan dalam usaha percepat vaksinasi

Maximus Ongkili
Maximus Ongkili
A
A
A

KOTA KINABALU - Komuniti Rukun Tetangga (KRT) perlu memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, komuniti KRT boleh menyebarkan informasi yang tepat kepada rakyat berkaitan kempen vaksin Covid-19 selain memberi penerangan mengenai pandemik Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) di peringkat akar umbi.

"KRT memainkan peranan penting dalam membantu pihak kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19 di kawasan mereka masing-masing. Setiap komuniti KRT juga boleh melaksanakan program bersesuaian seperti kempen pendaftaran vaksin melalui kaedah media sosial.

“Ini adalah norma baharu yang perlu kita adaptasi, dan saya berharap semua KRT dapat membantu kerajaan dalam menyebarkan mesej yang positif, serta menyokong usaha perintah kawalan pergerakan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu turut mengumumkan peruntukan RM53,000 dan 200 kotak pelitup muka untuk KRT di daerah Kota Marudu.

“Di Kota Marudu kita mempunyai 53 buah KRT dan selaras dengan norma baharu, mereka masih boleh melaksanakan program-program yang bersesuaian berdasarkan tempoh pergerakan terkini di Sabah,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: