X

Kindly register in order to view this article
!

Darurat tidak beri kesan kepada usaha kekang Covid-19: PH

Dari kiri; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
A
A

SHAH ALAM – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa agar darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos ini.

Menurut Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama, darurat yang diisytihar pada 11 Januari lalu tidak memberi kesan kepada usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 dan perlu ditamatkan segera.

“Malah, berdasarkan bukti sains dan data, keadaan pandemik semakin meruncing dan bertambah teruk sejak darurat diisytihar dengan jumlah kes positif dan kematian harian yang kekal tinggi,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, mereka berkata, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat akan mengadakan mesyuarat terakhir pada Julai ini dan wakil PH dalam jawatankuasa akan menegaskan tiga perkara untuk dilaksanakan jawatankuasa itu.

“Pertama, menjunjung titah pandangan Raja-raja Melayu berhubung isu darurat. Kedua, menerima bukti sains dan data bahawa darurat tidak memberi kesan kepada usaha pengawalan pandemik Covid-19.

“Dan ketiga, menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tidak melanjutkan darurat selepas 1 Ogos,” kata mereka.

Menurut mereka, jawatankuasa itu juga akan tamat fungsinya dan terbubar selepas 1 Ogos.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!