Polis kesan dua wanita curi emas Korea

Dua wanita yang dipercayai mencuri barangan kemas Korea di sebuah kios dalam pasar raya di Kepala Batas dalam kejadian Isnin lalu.
Dua wanita yang dipercayai mencuri barangan kemas Korea di sebuah kios dalam pasar raya di Kepala Batas dalam kejadian Isnin lalu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis sedang mengesan dua wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian mencuri barangan kemas Korea di sebuah kios menjual barangan kemas tiruan di sebuah pasar raya di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian itu disedari pemilik kios tersebut ketika melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada jam 5 petang Isnin lalu.

Menurutnya, dalam rakaman CCTV tersebut, pemilik kiosk yang berusia 39 tahun itu mendapati dua wanita sedang mundar-mandir berjalan di kawasan kios berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Menerusi rakaman itu, dia mendapati dua wanita yang memakai pelitup muka itu telah mencuri barangan kemas Korea di almari pameran di kiosnya. Semua barang perniagaan lelaki itu ditinggalkan di kios dan hanya ditutup dengan kain biru.

"Suspek telah menyelak kain biru yang menutupi almari pameran dan telah mengambil barang-barang kemas Korea lalu melarikan diri," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Katanya, ketika semakan CCTV dibuat, pemilik kios berada di rumahnya di Kulim, Kedah.

"Pengadu kemudiannya telah membuat pemeriksaan dan mendapati satu kotak cincin dan rantai tangan emas Korea telah hilang. Anggaran kerugian yang dialaminya adalah RM2,000. Dia membuat laporan polis pada Selasa lalu.

"Kios tersebut tidak beroperasi sejak 1 Jun lalu selepas pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh. Pemilik kios menjalankan perniagaan di pasar raya tersebut sejak dua tahun lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, kedua-dua suspek telah dikenal pasti dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.