5,000 asnaf Selangor mohon bantuan zakat

Saipolyazan (tiga dari kanan) menyerahkan kerusi roda kepada Hospital UiTM di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam pada Jumaat.
Saipolyazan (tiga dari kanan) menyerahkan kerusi roda kepada Hospital UiTM di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam pada Jumaat.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima kira-kira 5,000 permohonan baharu bantuan zakat daripada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop berkata, kebanyakan asnaf yang dibantu terdiri dalam kalangan mereka yang miskin sementara akibat kehilangan pekerjaan dan pengurangan pendapatan mendadak.

"Jumlah itu tidak termasuk mereka yang didapati daripada pencarian LZS melalui 2,000 Penolong Amil Kariah di seluruh Selangor," katanya pada sidang akhbar selepas Program Serahan Kerusi Roda kepada Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, di bawah program bantuan alternatif insan terkesan itu mempunyai had tertentu bergantung kepada situasi pemohon.

"LZS membantu sehingga enam bulan dan jika mereka tidak dapat keluar daripada kemiskinan, kita akan daftarkan mereka sebagai asnaf fakir dan miskin.

"Bagaimanapun jika mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan, kita akan hentikan bantuan dalam tempoh itu," katanya.

Saipolyazan memberitahu, bantuan yang disediakan itu bagi memastikan mereka yang terkesan akibat pandemik dapat dibantu dengan sebaiknya.

"Contohnya LZS akan pergi ke syarikat penerbangan, pengusaha bas, kantin, asatizah dan peniaga kecil. Kita juga menyediakan saluran untuk asnaf baharu atau mereka boleh memohon secara dalam talian," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pelaksanaan bantuan seperti itu dapat membantu keluarga daripada belenggu kemiskinan.

"Kebanyakan kita bantu ini terdiri daripada mereka yang bergaji hari, dibuang kerja dan tidak boleh berniaga disebabkan kedai ditutup," katanya.

Beliau berkata,, seramai 65,000 asnaf sedia ada juga akan terus dibantu melalui saluran khas kerana mungkin ada dalam kalangan suami atau isteri asnaf ini kehilangan pekerjaan dan masalah lain.