Khidmat lipat kain 'terapi' bina keyakinan OKU

Pelatih PDK dipantau penyelia membuat tasbih sebagai terapi untuk mereka berdikari.
Pelatih PDK dipantau penyelia membuat tasbih sebagai terapi untuk mereka berdikari.
A
A
A

KUANTAN - Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang, Kampung Tiram di sini, mengambil pendekatan melatih orang kurang upaya (OKU) melipat pakaian selepas golongan itu dilihat sering dipinggirkan kerana ketidakupayaan mereka.

Pengerusi PDK Komplek Penyayang Kuantan, Syahira Yahya berkata, projek itu bermula sejak 2016 dan lima pekerja OKU yang juga pelatih PDK itu terlibat secara langsung.

"Pelatih di pusat itu dibantu dengan memberikan mereka ‘terapi’ bagi membina keyakinan diri seterusnya mampu mencari sumber kewangan atau pendapatan sampingan dalam projek lipat kain (Prolika).

"Mereka menerima latihan selama lima bulan sebelum projek lipat kain dimulakan dan mereka sentiasa di dalam pengawasan seorang penyelia ketika bekerja," katanya ketika ditemui di kompleks itu, semalam.

Pelatih PDK sedang menjalankan kerja-kerja melipat kain.
Pelatih PDK sedang menjalankan kerja-kerja melipat kain.

Menurutnya, walaupun kerja ini dianggap sebagai rutin biasa bagi individu yang normal, namun bagi berbeza dengan OKU.

“Apabila mereka bekerja dalam bidang ini membuktikan bahawa mereka juga boleh mencari rezeki kerana di luar sana ramai orang ambil kesempatan dengan pekerja OKU salah satu mungkin stigma, kedua tidak memberi upah yang sepadan.

“Sebab tu kami lahirkan setiap PDK mampu menghasilkan produk sendiri dari segi perkhidmatan. Jadi mereka akan dapat gaji setiap bulan dan juga hasil daripada projek bisnes lipat kain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Syahira berkata, pelatih PDK bukan sahaja menerima elaun pekerja cacat (EPC) sebanyak RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat malah akan menerima 80 peratus keuntungan Prolika.

”20 peratus lagi diberikan kepada PDK untuk melaksanakan pelbagai program lain. Jadi, pendapatan bulanan mereka boleh mencecah RM600 hingga RM1,000 sebulan jika ditambah sekali dengan elaun yang diberikan oleh JKM.

"Daripada 535 PDK seluruh negara, PDK Kompleks Penyayang ini adalah satu-satunya yang menawarkan perkhidmatan melipat dan menggosok kain selain memberi perkhidmatan kepada beberapa hotel besar di daerah ini,” katanya.

Syahira Yahya
Syahira Yahya

Menurutnya, perkhidmatan berkenaan secara tidak langsung dapat membuka mata masyarakat untuk menyokong usaha OKU berdikari tanpa merasakan simpati dan empati.

"Selain Prolika, projek membuat tasbih juga turut dilakukan pelatih di kompleks ini dan seramai 10 pelatih terlibat dipantau oleh penyelia sepanjang kerja-kerja membuat tasbih dilaksanakan.

“Projek ini juga mendapat tempahan daripada jabatan kerajaan dan orang awam dan ia memberi sumber pendapatan kepada pelatih dan PDK,” katanya.

Syahira berkata, projek dilaksanakan juga sebagai usaha memberitahu masyarakat bahawa golongan istimewa itu juga boleh bersama membangunkan ekonomi.

Dalam pada itu, menurutnya, pihaknya merancang untuk mendapatkan sebuah premis perniagaan yang sesuai untuk menawarkan perkhidmatan dobi sebagai usaha meluaskan sumber pendapatan.

“Kami bercadang untuk wujudkan satu pusat dobi dan kami sedang mencari premis yang sesuai untuk meletakkan anak-anak PDK ini untuk menjalankan perniagaan sendiri.

“Kami dalam usaha mengembangkan projek ini di pasaran Kuantan terutama dengan meletakkan di premis sesuai,” katanya.