Sarawak di landasan betul capai sasaran wujud imuniti kelompok

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Sarawak berada di landasan betul untuk mencapai sasaran pemberian vaksin Covid-19 kepada 80 peratus penduduknya yang layak menjelang Ogos depan, dan setakat ini kira-kira 1,025,000 orang atau 40 peratus penduduk sudah menerimanya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, berdasarkan jumlah individu di Sarawak yang sudah menerima vaksin berkenaan setakat ini, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai dalam tempoh dua bulan akan datang.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sedang mengambil langkah proaktif dengan penubuhan unit bergerak ke luar bandar dan pedalaman untuk memberi vaksin kepada penduduk.

“Proses vaksinasi kita berjalan lancar dan cepat kerana penduduk Sarawak memberi kerjasama amat baik apabila mereka secara sukarela tampil untuk menerima vaksin,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Zon Perindustrian Samajaya dan dua pusat beli-belah di sini pada Jumaat.

Selain unit bergerak untuk memberi vaksin kepada penduduk di luar bandar dan pedalaman Sarawak, Abang Johari berkata PPV khusus juga akan diwujudkan untuk pekerja kilang, syarikat minyak dan gas, sektor perladangan dan pelancongan.

“Usaha (PPV di tempat kerja) ini sangat penting kerana pekerja di sektor berkenaan ramai dan kita bimbang apabila mereka dijangkiti (Covid-19) di tempat kerja dan pulang ke rumah, kampung dan rumah panjang, mereka akan menyebabkan jangkitan kepada orang lain,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh antara 24 Januari lepas sehingga Khamis, 25 kluster tempat kerja direkodkan di Sarawak membabitkan 1,765 kes jangkitan dan keadaan itu agak membimbangkan memandangkan terdapat 46,600 pekerja kilang di seluruh Sarawak.

Katanya, pekerja asing di Sarawak juga perlu divaksin dengan kos pemberian vaksin perlu ditanggung oleh majikan mereka.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Sarawak dijangka tidak berdepan masalah dalam mendapatkan bekalan vaksin kerana kerajaan Persekutuan sudah berjanji menghantar 380,000 dos vaksin jenis Sinovac setiap minggu, manakala vaksin CanSino dijadual sampai bulan depan. - Bernama