13 individu didakwa sertai perarakan kematian

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Seramai 13 individu termasuk dua remaja lelaki bawah umur yang terlibat dalam perarakan kematian pada 17 Jun lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Tertuduh, K S Surendran, 35; B Subramaniam, 23; K Yeshwar, 22 dan S Logeswari, 23 dan dua remaja itu mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Bagaimanapun enam lagi tertuduh iaitu Surendran Peeter William,21; M Jagan, 24; M Thiruselvaan, 21; N Amos,19; N Vihnoth, 21 dan M Guganeswaran, 21 mengaku tidak bersalah dalam pertuduhan yang dibacakan secara bersama.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan cara menjalankan perarakan kematian bagi tujuan keagamaan di dalam kawasan tempatan jangkitan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Siram, Butterworth kira-kira jam 2.50 petang.

Kesemua mereka didakwa mengikut Peraturan 9, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No3) 2021 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) peraturan yang sama.

Norhayati menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap setiap seorang terhadap Munesvaran, Surendran, Subramaniam, Yeshwar dan Logeswari manakala hukuman untuk dua tertuduh di bawah umur ditangguhkan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1,000.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mahkamah membenarkan enam lagi tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Ogos untuk sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret empat tertuduh iaitu Subramaniam, Jagan, Thiruselvaan dan Guganeswaran mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Keempat-empat lelaki itu memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa di hadapan Majistret M Kalaiarasi.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa memiliki tatu dan kain rentang yang mempunyai simbol swastika dan simbol dua syiling bertindih yang melambangkan kumpulan kongsi gelap di Jalan Siram di sini pada jam 2.50 petang, 17 Jun lepas.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan sabitkan kesalahan, keempat-empat tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 setiap seorang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Salem Ali dan Khairul Anuar Wahab manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Kalaiarasi membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh dan mereka turut diarah lapor diri di balai polis terdekat mulai hari ini untuk setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan kes itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan tular perarakan usung mayat