Pendaftaran Pejuang: Mahkamah perintah Hamzah putuskan rayuan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat keputusan berhubung rayuan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) untuk mendaftar parti itu dalam tempoh 14 hari.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan permohonan Pejuang untuk semakan kehakiman terhadap tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu.

Dalam penghakimannya, Ahmad Kamal berkata, responden pertama (Menteri Dalam Negeri) tidak boleh mengambil masa terlalu lama untuk memutuskan rayuan tersebut.

Ini kerana, katanya, perkara yang terlibat tidak terlalu rumit dan berpendapat bahawa masa diambil Menteri Dalam Negeri dalam memutuskan rayuan itu, kira-kira lima setengah bulan, dari 8 Januari 2021 adalah melebihi masa yang diperlukan.

"Saya setuju dengan responden (Menteri Dalam Negeri dan RoS) bahawa adalah perlu bagi responden pertama untuk meneliti setiap rayuan sebelum membuat keputusan. Namun, berdasarkan fakta dan keadaan kes, masa yang diambil responden pertama untuk meneliti semakan rayuan mestilah masa yang munasabah atau sewajarnya.

“Dalam kes ini, saya berpendapat bahawa tidak ada masalah rumit yang terlibat dalam membuat keputusan. Alasan yang dikemukakan oleh responden pertama mengenai kesibukannya tidak kukuh.

"Responden pertama mempunyai pegawai untuk membantunya semua tugas-tugasnya termasuk menyiapkan semua dokumen dan fail yang relevan untuk responden pertama memutuskan rayuan yang difailkan oleh pemohon (Pejuang)," katanya dalam penghakiman bertulis 32 halaman yang diperoleh media pada Jumaat.

Ahmad Kamal berkata, walaupun mengikut Akta Pertubuhan 1966 atau Akta Tafsiran 1948 dan 1967, responden pertama tidak dikehendaki memberikan anggaran masa tetapi tanpa jangkaan masa akan menyukarkan responden pertama mewajarkan masa yang diambil untuknya membuat keputusan pada masa yang munasabah.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, jangka waktu yang tidak diketahui tidak boleh ditafsirkan sebagai masa yang wajar dalam kes ini. Responden berhujah bahawa terdapat 102 rayuan untuk responden pertama putuskan.

"Namun, tidak jelas bagi saya berapa banyak daripada 102 rayuan yang berkaitan dengan pendaftaran parti politik dan berapa banyak rayuan lain yang mempunyai tahap kepentingan dan mendesak yang memerlukan responden pertama mengambil tindakan lebih cepat untuk putuskan," katanya.

Beliau berkata, walaupun ada kes dan rayuan lain untuk dipertimbangkan oleh responden pertama, masa yang diperlukan untuk memutuskan rayuan Pejuang tidak boleh terlalu lama kerana isu tersebut tidak melibatkan masalah yang rumit.

Hakim itu berkata, adalah jelas bahawa responden pertama adalah satu-satunya orang yang akan membuat keputusan dan prosesnya tidak melibatkan orang lain yang perlu mengemukakan pandangan dan pendapat mereka, dan oleh itu proses membuat keputusan tidak memerlukan masa yang lama.

"Saya maklum, sebagai menteri, responden pertama mempunyai fungsi dan tugas lain, tetapi bagi saya tempoh lima setengah bulan tidak munasabah baginya dalam membuat keputusan itu," katanya.

Hakim itu berkata, mahkamah juga mendapati menteri telah melanggar tugas statutorinya di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 atas kegagalannya membuat keputusan berhubung rayuan Pejuang.

Dalam penghakimannya, Ahmad Kamal berkata, berdasarkan fakta dan keadaan kes itu, perintah mandamus hendaklah dibenarkan kepada responden pertama untuk memutuskan rayuan pemohon dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

"Namun, saya berpendapat bahawa permohonan perintah mandamus untuk mengarahkan responden kedua (RoS) untuk memuktamadkan pendaftaran Pejuang hendaklah ditolak. Ini kerana relief yang dipohon adalah di luar skop Seksyen 18 (b) Akta Pertubuhan, yang terhad kepada mengesahkan, menolak atau mengubah keputusan Pendaftar dalam waktu yang munasabah," katanya sambil menambah bahawa permohonan semakan kehakiman dibenarkan tanpa kos.

Pada 1 April, Pejuang memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan Pejuang.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah memfailkan permohonan kebenaran itu pada 1 Mac dengan menamakan Ketua Pengarah RoS dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, Amiruddin memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama untuk membuat sebarang keputusan terhadap surat rayuan parti Pejuang pada 8 Jan lepas berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua telah melanggar kewajiban statutorinya di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa pelanggaran kewajiban statutori responden pertama untuk membuat sebarang keputusan terhadap rayuan parti Pejuang itu berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua adalah tidak munasabah, berniat jahat, satu bentuk percubaan tidak wajar untuk menafikan hak keperlembagaan pemohon untuk berpersatuan dan berbertanding dalam pilihan raya umum menggunakan logonya sendiri.

Pada 2 Februari, Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu setelah permohonan mereka ditolak.

Hamzah berkata, permohonan pendaftaran Pejuang ditolak pada 6 Januari lalu berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 dan parti itu boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pendaftaran Pejuang: Hamzah akur perlu buat keputusan