Op Patuh secara besar-besaran di seluruh negara

Op Patuh memberikan lebih fokus dan bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan kilang dan premis perniagaan yang beroperasi. - Gambar hiasan
Op Patuh memberikan lebih fokus dan bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan kilang dan premis perniagaan yang beroperasi. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA- Operasi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dikenali sebagai Op Patuh dilancarkan secara besar-besaran.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Op Patuh memberikan lebih fokus dan bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan kilang dan premis perniagaan yang beroperasi.

"Ia termasuk penyalahgunaan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh kementerian, jabatan atau agensi yang diputuskan sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, sekatan jalan raya bergerak akan ditumpukan di kawasan-kawasan hotspot Covid-19 di seluruh negara terutamanya di kawasan perkilangan dan perindustrian utama.

"Ia termasuk penggunaan aset-aset strategik milik semua agensi penguatkuasaan yang akan diatur gerak secara bersepadu seperti helikopter dan dron bagi pemantauan yang lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, KDN telah diberi tanggungjawab untuk mengetuai dan mengkoordinasi aspek penguatkuasaan pematuhan SOP dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sehubungan itu, peranan Pasukan Petugas Khas yang sebelum ini dikendalikan MKN akan diambil alih oleh KDN bagi meneliti setiap aduan awam yang diterima, termasuk memastikan tindakan susulan diambil terhadap aduan tersebut," katanya.

Sehingga 24 Jun, sejumlah 123,469 premis dan 21,919 kilang telah diperiksa di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, 885 kompaun telah dikeluarkan dengan 265 premis sudah diarahkan tutup.