Polis buka kertas siasatan ahli politik didakwa anjur program

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Polis membuka kertas siasatan berhubung laporan mengenai seorang ahli politik di negeri ini yang didakwa menganjurkan program tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, ia susulan satu laporan diterima pihaknya di Balai Polis Tanjung Minyak berhubung program berkenaan yang diadakan di Taman Rambai Jaya mulai jam10 pagi hingga 5 petang Khamis.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil penganjur untuk memberi keterangan dan menyiapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

"Polis telah menasihati penganjur lebih awal supaya tidak mengadakan program tersebut tetapi ia masih diteruskan.

"Kertas siasatan dibuka di bawah Peraturan 16 Akta Pengawalan Penyakit Berjangkit. Kita juga pernah membuka kertas siasatan terhadap penganjur sama sebelum ini kerana menganjurkan program di Bukit Rambai pada 7 Jun lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Razali berkata, setakat ini polis Melaka telah mengeluarkan 895 kompaun berjumlah RM1.66 juta membabitkan pelbagai kesalahan sejak tempoh pelaksanaan PKP 3.0.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran membabitkan 328 kes, pusat hiburan (15 kes) dan majikan tidak memastikan pekerja asing menjalani ujian Covid-19 (15 kes).

Katanya, kesalahan lain termasuk tidak menjalani perintah kuarantin wajib (individu) sebanyak dua kes, aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal (15 kes) dan kesalahan-kesalahan kecil dengan denda berjumlah antara RM1,500 dan RM10,000. - Bernama

Artikel Berkaitan: