Kompleks Pekan Rabu dibuka Isnin jika PKP tidak disambung

Ridhuwan menampal notis kerja sanitasi dilakukan di Kompleks Pekan Rabu pada Jumaat.
Ridhuwan menampal notis kerja sanitasi dilakukan di Kompleks Pekan Rabu pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Kompleks Pekan Rabu yang ditutup sejak lebih sebulan dijangka akan dibuka semula pada Isnin depan sekiranya Sekatan Perintah Pergerakan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berakhir pada 28 Jun ini.

Pengerusi Koperasi Pekan Rabu, Ridhuwan Mustafa berkata, ada peniaga yang dibenarkan berniaga dalam tempoh perlaksanaan sekatan pergerakan berkenaan, namun mengambil keputusan untuk tidak berniaga.

Ridhuwan berkata, sebahagian peniaga yang menjual makanan daripada keseluruhan lebih 350 peniaga terpaksa mengambil keputusan berkenaan bagi mengelakkan mereka menanggung kerugian dan dalam masa sama dapat membantu mencegah penularan Covid-19.

"Pada peringkat awal Sekatan Pergerakan Penuh dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar, ada seorang dua peniaga makanan yang dibenarkan beroperasi cuba berniaga seperti biasa.

"Bagaimanapun, permintaan amat kurang disebabkan tidak ramai dapat berkunjung ke kompleks ini, sekali gus menyebabkan mereka tiada pilihan lain selain menutup kedai masing-masing," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui ketika kerja sanitasi Kompleks Pekan Rabu pada Jumaat.

Dua pekerja melakukan kerja-kerja sanitasi Kompleks Pekan Rabu pada Jumaat.
Dua pekerja melakukan kerja-kerja sanitasi Kompleks Pekan Rabu pada Jumaat.

Tambah beliau, disebabkan tidak berniaga dalam tempoh ini, peniaga kompleks bergantung kepada wang Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM1,000 diterima daripada kerajaan untuk membayar gaji pekerja dan sebagainya.

"Saya sendiri gunakan wang bantuan berkenaan untuk membayar upah pekerja dan meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh ini, sekali gus berharap PKP 3.0 tidak disambung semula bagi membolehkan mereka mencari rezeki," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya juga memutuskan peniaga kompleks tidak perlu membayar sewa selama dua bulan iaitu Mei dan Jun disebabkan prihatin dengan nasib mereka yang tiada pendapatan sejak sebulan lepas.

Dalam perkembangan sama, Ridhuwan berkata, pihaknya berjanji akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat jika tiada lanjutan tarikh PKP 3.0 berkuat kuasa dengan beralih ke fasa 2.

"Sebelum ini, kami memang memastikan SOP dijaga sebaik-baiknya seperti pengunjung wajib memakai pelitup muka, memeriksa suhu dan membuat pendaftaran MySejahtera, tetapi kali ini akan lebih ketat berbanding sebelumnya.

"Kami juga mengambil insiatif melakukan sanitasi sekali lagi di seluruh Kompleks Pekan Rabu sebagai langkah keselamatan dan pencegahan untuk membendung penularan virus jika kembali beroperasi seperti biasa," katanya.