Pengunjung Mossy Forest dikenakan bayaran bermula 1 Mac

Keindahan Mossy Forest mendapat perhatian pendaki
A
A

TEMERLOH - Bermula 1 Mac depan, pengunjung akan dikenakan bayaran fi masuk ke Mossy Forest, Cameron Highlands.

Sebelum ini tiada bayaran yang dikenakan untuk ke kawasan yang terletak pada ketinggian kira-kira 2,031 meter dari aras laut itu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, bayaran tersebut dikenakan bagi pengunjung yang memasuki Mossy Forest hingga ke penghujung laluan boardwalk sahaja.

Menurutnya,bagi warganegara, bayaran masuk pengunjung dewasa adalah RM10 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas hanya RM5.

"Bayaran masuk untuk bukan warganegara pula adalah RM30 bagi pengunjung dewasa dan warga emas manakala RM15 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

"Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada semua Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka perlu membawa kad sebagai pengesahan.

"Bagi pengunjung yang ingin mendaki Gunung Irau melalui Mossy Forest, mereka perlu membuat permohonan permit memasuki Hutan Simpanan Kekal dan membayar fi masuk," katanya.

Beliau memberitahu, bayaran fi masuk itu dikenakan bagi menampung kos penyelenggaraan yang dilaksanakan jabatan itu.

"Setakat ini ada empat Taman Eko Rimba (TER) di bawah seliaan JPNP yang dikenakan bayaran masuk iaitu Chamang dan Lentang Di Bentong, Gunung

Senyum (Temerloh) dan Sungai Pauh, Cameron Highlands manakala di Jerangkang, Maran akan dicaj bermula 1 Mac ini.

"Kadar bayaran untuk warganegara Malaysia di lima TER ini hanya RM3 bagi dewasa manakala RM1.50 bagi kanak-kanak dan warga emas," jelasnya.

Mossy Forest atau dikenali bukit berlumut menjadi satu destinasi yang semakin popular bagi penggemar aktiviti mendaki kerana laluannya agak mencabar dan keindahan pemandangannya.