Covid-19: 5,812 kes baharu hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes baharu Covid-19 di negara ini bagi tempoh 24 jam merekodkan sebanyak 5,812 kes, kekal melebihi angka 5,000 untuk tiga hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak Covid-19 di Malaysia kini 722,659 kes.

Menerusi perkongsian di laman Twitter pada Jumaat, beliau berkata, Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 2,187 kes, diikuti Kuala Lumpur (771), Sarawak (673), Negeri Sembilan (658), Pulau Pinang (270) dan Melaka dengan 223 kes.

Sementara, Johor merekodkan 196 kes, selain Kedah (186), Sabah (156), Pahang (139), Labuan (123), Kelantan (98), Perak (72), Terengganu (46) dan Putrajaya (14), manakala Perlis sifar kes.

Sementara itu dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata, perincian kes baharu pada Jumaat menyaksikan 5,780 kes penularan tempatan dicatatkan; membabitkan 4,214 warganegara dan 1,566 bukan warganegara, manakala 32 kes import pula membabitkan 17 rakyat Malaysia dan 15 warga asing.

Menurutnya, jumlah kes sembuh pula melebihi kes harian dengan 6,775, sekali gus menjadikan angka keseluruhan individu pulih daripada pandemik itu kini 657,739.

“Kes aktif pula kini sebanyak 60,117 manakala jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) seramai 870 orang termasuk 433 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, 82 lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan melibatkan 71 warganegara dan 11 warga asing berumur lingkungan 24 hingga 89 tahun, dengan majoritinya menghidap penyakit kronik menjadikan angka keseluruhan korban akibat wabak itu kini 4,803.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, KKM mengesan 21 lagi kluster baharu membabitkan 18 kluster di tempat kerja dan dua kluster komuniti iaitu Kluster Pengkalan Gelugor di Terengganu dan Kluster Jalan Laksamana Intan (Perak) serta satu kluster pusat tahanan iaitu Kluster Puncak Borneo di Sarawak.

Kluster di tempat kerja melibatkan Kluster Tapak Bina Lebuh 2, Kluster Tapak Bina Jalan City, Kluster Industri Jalan Seruling, Kluster Industri SS Lapan Dua, Kluster Industri Jalan Norton, Kluster Jalan Cyberia Dua, dan Kluster Industri Kilometer 17 Rawang di Selangor serta Kluster Jalan Ampang Water Front Dua (Selangor dan Kuala Lumpur).

Turut dikesan di Kuala Lumpur ialah Tapak Bina Jalan Utara, Kluster Tapak Bina Matahari 2, Kluster Jalan Taman Ibu Kota dan Kluster Jalan Raja Muda Musa.

Selain itu, kluster di tempat kerja melibatkan Kluster Jalan Nirwana Dua di Melaka; Kluster Wakaf Aik (Kelantan); Kluster Jalan Kampung Jawa (Pulau Pinang); Kluster Kailan Tringkap (Pahang dan Perak); Kluster Dah 11 Industri Sungai Petani (Kedah) dan Kluster Jalan Kidurong Lima (Sarawak). - Bernama