X

Kindly register in order to view this article
!

Makan durian sebelum, selepas vaksin selamat

Noor Azmi menyantuni seorang warga emas, Bunga Zakaria, 60, dari Taman Sri Gemilang, Jalan Chenderiang Lama yang menerima suntikan dos kedua di PPV Dewan Merdeka Tapah.
A
A

TAPAH - Tindakan makan durian tidak memberi sebarang kesan terhadap individu sama ada sebelum atau selepas pengambilan suntikan vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Menurutnya, tiada lagi termaktub dalam mana-mana buku perubatan berhubung larangan memakan raja buah itu selepas menerima suntikan.

"Jika ada yang mengatakan tidak boleh makan durian disebabkan vaksin, itu tidak betul.

"Yang betulnya kita ini tidak boleh makan banyak atau makan benda yang terlalu manis kerana itu yang akan memberi masalah kepada kesihatan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Merdeka Tapah di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan tular di media sosial berkaitan kejadian seorang individu yang telah divaksin meninggal dunia selepas makan durian.

Noor Azmi berkata, kematian individu berusia 49 tahun itu telah disahkan akibat serangan jantung dan bukannya kesan akibat makan durian.

Bagaimanapun katanya, kesan tular itu secara tidak langsung telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sekali gus menimbulkan suasana bahaya kepada orang lain.

"Sekarang musim durian tetapi disebabkan perkara ini, orang jadi takut nak makan durian. Mana yang sepatutnya dapat giliran cucuk pula, takut nak pergi ambil suntikan sebab dia nak makan durian.

"Seeloknya benda-benda kontroversi yang kita sendiri tidak pasti, biarlah kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjawabnya secara saintifik serta data," katanya.

Tular di laman sosial apabila orang ramai menerima mesej kononnya seorang individu yang telah divaksinasi meninggal dunia selepas makan durian.

“Beritahu keluarga dan rakan-rakan untuk jangan makan durian sebelum atau selepas vaksinasi. Rakan saya di kebun diberi vaksin dan kembali makan durian pada keesokan harinya dan meninggal dunia.

“Lebih baik mengetahui dan berhati-hati. Hidup itu berharga, kerana suatu saat kejahilan akan membunuhnya, menyedihkan,” kata mesej tular itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!