'Bukan kemenangan untuk diraikan pemain Uruguay'

Cavani membuktikan masih tajam di depan gawang gol apabila meledak jaringan ketika menentang Bolivia dalam aksi Copa America 2021 pada Jumaat.
Cavani membuktikan masih tajam di depan gawang gol apabila meledak jaringan ketika menentang Bolivia dalam aksi Copa America 2021 pada Jumaat.
A
A
A

PENGENDALI Uruguay, Oscar Tabarez mengakui berpuas hati dengan persembahan dipamerkan anak buahnya ketika menyingkirkan Bolivia terus dari kempen Copa America 2021 dengan kemenangan memberangsangkan 2-0 pada Jumaat.

Malah pengendali veteran berusia 74 tahun tersebut memuji karakter dipamerkan pemain-pemain La Celeste yang berusaha memperbaiki gaya permainan selepas tampil kurang menyakinkan dalam dua perlawanan terdahulu.

"Jumlah gol yang dijaringkan dalam perlawanan ini tidak mengambarkan potensi diri sebenar dalam kalangan pemain-pemain Uruguay ketika berdepan lawan seperti Bolivia.

"Sebaliknya, penguasaan bola sepanjang perlawanan yang memberikan keyakinan bahawa terdapat peningkatan positif selepas dua perlawanan sebelum ini, pada masa sama bahagian pertahanan juga semakin kukuh dan tidak lagi melakukan kesilapan mudah.

"Bolivia pula gagal mencipta peluang apatah lagi melakukan percubaan, jadi ini sudah cukup mengembirakan kami semua. Biarpun begitu ingin saya tegaskan kemenangan ini bukanlah sesuatu yang untuk diraikan, cumanya pemain-pemain bolehlah berbangga dengan gaya permainan masing-masing, selain penguasaan bola di padang," katanya.

Uruguay kembali menghidupkan peluang mara peringkat kalah mati saingan Copa America 2021 selepas mengatasi Bolivia 2-0 pada aksi di Stadium Arena Pantanal, Cuiaba.

Tampil dengan misi hanya tiga mata dapat menghidupkan peluang mara ke peringkat kalah mati, La Celeste terlebih dulu di depan hasil jaringan sendiri penjaga gol lawan, Carlos Lampe pada minit ke-40.

Bersambung babak kedua, anak buah Tabárez yang dikritik longlai dalam dua perlawanan terdahulu setelah tewas 1-0 kepada Argentina, seri 1-1 dengan Chile kembali lebih garang.

Artikel Berkaitan:

Hasilnya, gawang La Verde kendalian pengendali, César Farías bolos lagi, kali ini hasil jaringan bintang sensasi Manchester United, Edinson Cavani pada minit ke-80.

Sementara itu, Farías menyifatkan situasi pandemik Covid-19 ternyata menjejaskan momentum pasukan tersebut pada kempen kejuaraan berprestij bola sepak Amerika Selatan tersebut.

"Pandemik Covid-19, sememangnya menganggu persiapan pasukan. Apapun dalam perlawanan berintensiti tinggi ini kami telah menberikan aksi sehabis baik, dengan tidak melakukan sebarang kesilapan, namun tuah tidak berpihak Bolivia kali ini," ujar Farias pengendali berusia 48 tahun yang pernah mengemudi gergasi liga Bolivia, The Strongest berpangkalan di La Paz.