Bas jadi PPV bergerak ke pedalaman Jelebu

Siew Fook ketika meninjau keadaan sekitar PPV Kuala Klawang, Jelebu pada Jumaat.
Siew Fook ketika meninjau keadaan sekitar PPV Kuala Klawang, Jelebu pada Jumaat.
A
A
A

JELEBU - Sebuah bas diubah suai menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak akan ke kawasan pedalaman di daerah ini bagi memudahkan warga emas di sini mendapat suntikan vaksin Covid-19 bermula 12 Julai ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu dilakukan bagi mengatasi masalah ketidakhadiran golongan terbabit ke PPV ekoran kekangan yang dialami mereka seperti ketiadaan pengangkutan.

"PPV Bergerak menggunakan bas ini merupakan inisiatif Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.

"Kita bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Jelebu dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Jelebu akan melancarkan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 ke kawasan pedalaman melibatkan tiga DUN di daerah ini iaitu Chennah, Klawang dan Pertang," katanya selepas selesai melawat PPV Kuala Klawang di sini pada Jumaat.

Hadir sama Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan merangkap ADUN Klawang, Datuk Bakri Sawir.

Katanya, pihaknya memberi fokus terhadap golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dalam pemberian vaksin.

"Jadi kita menyewa sebuah bas untuk dijadikan PPV bergerak yang akan bergerak di sekitar daerah Jelebu.

"Ini dapat membantu warga emas yang berada di pedalaman lebih mudah mendapatkan suntikan vaksin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Siew Fook berkata, sebagai permulaan PPV bergerak ini akan ke Simpang Durian bagi memberi fokus kepada warga emas yang belum mendaftar vaksin seterusnya menerima suntikan itu secara 'on the spot'.

"PPV Bergerak ini akan berada di kawasan perkampungan yang mempunyai kemudahan dewan ataupun balai raya yang mensasarkan sekurang-kurangnya 500 orang dalam tempoh seminggu.

"Program ini akan berjalan dalam tempoh enam minggu iaitu lengkap dua dos vaksin melibatkan lebih kurang 1,500 penduduk," katanya.

Dalam pada itu, Siew Fook berkata, bas berkenaan akan diserahkan dan diuruskan oleh CITF Jelebu dan PKD Jelebu untuk kelancaran program vaksinasi kepada golongan sasar.

Pada Jumaat, Pusat Khidmat DUN Chennah bekerjasama dengan PKD daerah Jelebu memberikan kemudahan pengangkutan iaitu bas dan van kepada hampir 200 penduduk dari Kampung Chennah, Sungai Buloh dan Titi untuk mendapatkan suntikan vaksin masing-masing di PPV Kuala Klawang.