X

Kindly register in order to view this article
!

Pemborong seleweng minyak masak subsidi hampir RM1 juta diserbu

Nurul Syarina menunjukkan antara dokumen yang dirampas susulan serbuan premis pemborong minyak masak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan penyelewengan bekalan minyak masak melibatkan nilai subsidi hampir RM1 juta yang dipercayai dilakukan sebuah premis pemborong di Bandar Tun Razak, di sini sejak April lalu akhirnya terbongkar dalam serbuan pada Khamis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dijalankan hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, pihaknya telah berjumpa pemilik premis warga tempatan berusia lingkungan 40-an itu sebelum sitaan beberapa dokumen bagi siasatan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati syarikat ini mempunyai lesen borong minyak masak dan mula beroperasi sejak Mac lalu dengan mendapat sumber bekalan dari pekilang dan pembungkus di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah dan Pahang.

"Namun, syarikat ini disyaki membekalkan minyak masak kepada sebuah syarikat tidak berlesen di Johor Bahru, Johor," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, jumlah bekalan minyak masak yang dibekalkan kepada pembeli syarikat tidak berlesen itu bermula sejak April lalu membabitkan 1.6 juta kilogram (kg) dengan nilai subsidi dianggarkan RM960,000.

Katanya, minyak masak bersubsidi itu kemudian akan dipasarkan oleh syarikat tidak berlesen terbabit ke luar negara.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Peraturan 9(2)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, " katanya.

Tegas beliau, KPDNHEP Kuala Lumpur memberi amaran keras dan peringatan kepada syarikat atau individu yang cuba menyeleweng atau melanggar undang-undang khususnya yang melibatkan barang kawalan.

"Pihak kementerian sentiasa komited memantau dan menjalankan pemeriksaan ke atas semua rantaian pengedaran minyak masak supaya bekalan ini berada di pasaran dan dinikmati oleh golongan sasar.

"Ia juga bagi menyelamatkan wang subsidi yang dikeluarkan oleh kerajaan supaya tidak diselewengkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!