X

Kindly register in order to view this article
!

Kemalangan bongkar kegiatan pemandu kereta

Suspek bersama kereta dan barang rampasan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. - Foto PPM Wilayah Tiga
A
A

KUANTAN - Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Kuantan berjaya membongkar kegiatan pengedaran dadah disyaki didalangi pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kemunting di sini pada Selasa lalu.

Komander Pasukan Polis Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Mohammad Said berkata, kegiatan haram lelaki berusia 45 tahun itu terbongkar selepas dia cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadiran anggota polis marin yang menghampiri lokasi kemalangan membabitkan kereta dipandunya dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diparkir di tepi jalan.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, enam anggotanya sedang menjalankan Ops Landai di lokasi tersebut.

Sebahagian dadah dan wang tunai yang dirampas susulan penahanan suspek pada Selasa. - Foto PPM Wilayah Tiga
Sebahagian dadah dan wang tunai yang dirampas susulan penahanan suspek pada Selasa. - Foto PPM Wilayah Tiga

"Selepas menyedari kemalangan tersebut, anggotanya mendekati lokasi untuk pemeriksaan namun pemandu kereta terbabit tiba-tiba melarikan diri.

"Tindakan suspek itu agak mencurigakan lalu anggota bertindak mengejarnya sebelum berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM2,800," katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Norzaid berkata, antara dadah yang ditemui ialah 212 biji pil eremin 5, dianggarkan seberat 55.48 gram, 95 biji pil kuda (10.59 gram), syabu (0.86 gram) dan heroin (27.8 gram) dalam beg yang dibawa.

Katanya, turut dirampas wang tunai RM535 dan kereta yang digunakan membabitkan nilai rampasan keseluruhan lebih RM27,300.

"Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!