1.36 tan minyak masak gagal diseludup

Sebanyak 144 peket gula dan 170 peket minyak masak yang dirampas dalam serbuan berasingan di pangkalan haram Pok Kob, Simpangan, Tumpat, pada Khamis oleh PGA bersama KPDNHEP Kelantan.
Sebanyak 144 peket gula dan 170 peket minyak masak yang dirampas dalam serbuan berasingan di pangkalan haram Pok Kob, Simpangan, Tumpat, pada Khamis oleh PGA bersama KPDNHEP Kelantan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Sekumpulan lelaki yang sedang ligat memunggah kotak-kotak minyak masak peket bersubsidi seberat 1,360 kilogram (kg) di pangkalan haram Pok Mat, di sini bertindak melarikan diri selepas diserbu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan pada Khamis.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan pada jam 9.10 malam itu, kumpulan penyeludup itu bertindak melarikan diri ke negara jiran, Thailand menggunakan perahu bagi mengelakkan ditangkap anggota PGA.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi serbuan telah membawa kepada penemuan 1,360 kg minyak masak peket bernilai RM5,440.

"Selain itu, PGA turut merampas 500 peket tepung gandum yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.

"Nilai keseluruhan rampasan kedua-dua barangan bersubsidi itu dianggarkan berjumlah RM6,940," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam serbuan berasingan di pangkalan haram Pok Kob, Simpangan, Tumpat pada hari sama, PGA bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan telah merampas 144 peket gula dan 170 peket minyak masak yang mahu diseludup ke Thailand.

Katanya, rampasan itu dilakukan pada jam 4.30 petang menerusi Ops Bersepadu bersama KPDNHEP Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Proton Gen 2 yang digunakan untuk membawa barangan seludup tersebut," katanya.

Azhari berkata, kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bermula dari Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor (Tumpat) akan terus diperketatkan dalam usaha mencegah aktiviti penyeludupan.

.