Anwar bantu kempen PRK Semenyih

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Calon PH, Muhammad Aiman Zanali di Majlis Chap Goh Meh di Kampung Baru Semenyih malam ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Calon PH, Muhammad Aiman Zanali di Majlis Chap Goh Meh di Kampung Baru Semenyih malam ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEMENYIH - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini turun padang bagi memperkuatkan kempen PH dalam usaha mengekalkan kerusi DUN Semenyih pada PRK kawasan itu, 2 Mac ini.

Program pertama beliau adalah pada Rumah Terbuka Pesta Chap Goh Mei Semenyih 2019 di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru Semenyih dan turut dihadiri calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Ia dikuti dua ceramah pilihan raya di Bilik Gerakan Utama PH dan di Taman Sri Jenaris.

Kehadiran Anwar ini jelas menepis dakwaan pembangkang kononnya PKR dan DAP tidak membantu calon PH daripada Bersatu dalam kempen PRK DUN Semenyih.

“Saya datang untuk bantu dengan sokongan kuat dan padu kepada calon PH. Harap tak lagi jadi teka teki yang digunakan pembangkang,” katanya kepada hadirin dalam ceramah di Bilik Gerakan Utama PH di sini.

Sebelum itu, pada Rumah Terbuka Pesta Chap Goh Mei Semenyih 2019, Anwar mengingatkan penyokong PH supaya tidak memandang ringan PRK itu.

"Jangan lupa apa sebab anda semua bagi sokongan (kepada PH) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, sebab kita tidak mahu lagi kekayaan negara ini dicuri," katanya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menyampaikan ceramah di Majlis Sambutan Chap Goh Meh di Kampung Baru Semenyih malam ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menyampaikan ceramah di Majlis Sambutan Chap Goh Meh di Kampung Baru Semenyih malam ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapannya yang turut diselit perkataan Mandarin, Anwar berkata rakyat perlu memberikan sokongan kepada kepimpinan negara untuk membawa Malaysia ke landasan betul.

"Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah 93 tahun, dia mahu duit lagi ke? Dia tak mahu, dia mahu jaga dan selamatkan Malaysia," katanya.

Anwar turut menempelak pembangkang yang menghasut rakyat menjauhi kerajaan dengan memainkan isu janji manifesto.

Anwar berkata kerajaan PH bukannya tidak ingat kepada janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, namun memerlukan masa untuk melaksanakannya.

"Kita ingat kepada janji, tetapi pembangkang mengungkit, kita belum sampai satu tahun pun (memerintah), mereka 60 tahun, apa yang mereka buat?," katanya.

Beliau turut mempersoalkan peranan PAS yang dilihat menyerangnya selepas parti itu menjalin kerjasama dengan UMNO.

"Kamu Islam tetapi orang curi boleh berkawan, boleh bohong, cakap saya mahu jatuhkan perdana menteri," katanya.