X

Kindly register in order to view this article
!

Pemberian vaksin sektor pembinaan bermula 1 Julai

Khairy (tiga dari kanan) bersama Ka Siong (tiga dari Kiri) sewaktu sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV Sektor Pengangkutan (Maritim) Pelabuhan Klang, pada Jumaat.
A
A

PELABUHAN KLANG - [DIKEMASKINI] Pemberian Vaksin Covid-19 bagi sektor pembinaan akan bermula pada 1 Julai nanti dengan memberi fokus kepada kawasan tapak pembangunan yang beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, proses pemberian vaksin itu akan diselaraskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi membolehkan pekerja sektor terbabit mendapat segera suntikan vaksin tersebut selepas ini.

Beliau berkata, selain itu, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) juga telah memulakan perbincangan bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi mengembangkan pemberian vaksin buat industri berkenaan selepas ini.

"Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, program pemberian vaksin in akan diperluaskan kepada industri-industri lain berdasarkan kepada bekalan yang diterima.

"Pemberian vaksin buat sektor-sektor ini juga tidak menganggu perjalanan program sedia ada," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Pengangkutan (Maritim) Pelabuhan Klang pada Jumaat.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, menerusi pemberian di PPV berkenaan seramai 10,000 orang pelaut dan petugas pelabuhan turut akan menerima suntikan vaksin tersebut.

Beliau berkata, program pemberian vaksin melibatkan sektor pengangkutan adalah meliputi tiga sektor perkhidmatan iaitu maritim, udara dan darat.

"Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) akan bertindak sebagai penyelia bagi petugas pelabuhan manakala Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) melalui Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi menyelia pelaut," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!