'Hanya empat ahli Parlimen UMNO sokong undi tidak percaya jika ada'

Mohamed Nazri
Mohamed Nazri
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menjangkakan hanya empat ahli Parlimen UMNO akan menyokong usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya usul itu dikemukakan dalam sidang Parlimen akan datang.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, empat ahli Parlimen UMNO berkenaan yang diyakini ghairah untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini ialah Presidennya sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri berkeyakinan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu pemimpin UMNO yang selama ini dianggap sekutu kuat Ahmad Zahid, tidak akan melakukan perkara demikian, namun beliau tidak menjelaskan sebab lanjut.

“(Sama ada Najib akan menyokong Ahmad Zahid) Tidak... saya yakin tidak. Sebab apa? Tak perlu saya beritahu.

“Saya yakin yang lain akan menolak usul tersebut sebab tujuannya jelas iaitu mahu UMNO bekerjasama dengan DAP dan menjadikan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai Perdana Menteri baharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tengku Razaleigh, Ahmad Maslan, Ahmad Jazlan, Ahmad Zahid
Tengku Razaleigh, Ahmad Maslan, Ahmad Jazlan, Ahmad Zahid

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili ahli-ahli Parlimen BN pada Rabu, memberi jaminan untuk menolak sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan apabila Parlimen bersidang kelak.

Sementara itu, Mohamed Nazri mendedahkan angka 25 ahli Parlimen BN yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) memberi mandat kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjadi jurucakap mereka dijangka meningkat kepada 30 orang dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kutipan SD sokong Hishammuddin mungkin jadi rujukan pelantikan TPM

‘Saya tak layan pujukan tandatangan SD mana-mana pihak’

Jelas beliau, gerakan mengutip SD itu juga boleh dianggap sebagai usaha terkini ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN untuk menukar Ahmad Zahid selaku Presiden parti jika proses pemilihan parti diadakan dalam masa terdekat.

“Saya juga ingin menjelaskan pihak yang melanggar perlembagaan UMNO bukan kita, tetapi kem Ahmad Zahid yang sanggup beri maklumat tidak betul kepada Yang di-Pertuan Agong sewaktu dipanggil menghadap, Oktober tahun lalu.

“Justeru, saya sekali lagi minta Lembaga Disiplin UMNO buka mata dan mengambil tindakan tatatertib secara rasional terhadap Ahmad Zahid demi mempertahankan nama baik parti,” kata Mohamed Nazri.