Taekwondo Malaysia belum putus tindakan terhadap Selangor

TM R. Dhanaraj
A
A

TAEKWONDO Malaysia (TM) masih tidak memberikan sebarang jawapan mengenai tindakan yang akan diambil terhadap ahli badan gabungannya, Taekwondo Negeri Selangor (TNS) yang menjatuhkan imej badan Taekwondo negara itu dengan pelbagai tuduhan terhadapnya.

Pemangku Setiausaha Agung, TM R. Dhanaraj berkata, pihaknya akan memanggil satu mesyuarat lembaga eksekutifnya tidak lama lagi, membincangkan perkara itu dan mengenal pasti pelanggaran perlembagaan yang dilakukan TNS.

“Jika lembaga TM bersetuju untuk mengambil tindakan, kami akan membawanya ke Jawatankuasa Displin, yang merupakan satu badan bebas dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pendidikan dan juga peguam.

“Kami ada klausa dalam perlembagaan kami, jika anda mempertikaikan TM, kami boleh mengambil tindakan terhadap individu ataupun organisasi tersebut. Mereka telah menjatuhkan imej taekwondo di negara ini apabila mendedahkan perkara tersebut kepada media,” katanya kepada pemberita di Kejohanan Taekwondo Kebangsaan ke-10 di Wisma OCM di sini, hari ini.

Pada Disember lepas, TNS mendakwa TM telah menghalang badan negeri itu daripada menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) TM yang turut diadakan pemilihan dan sekaligus menyebabkan TNS hilang hak untuk mengundi.

Khamis lepas, Presiden TNS Dr T. Arasu pula mendakwa TM telah menghalang 52 wakil Selangor menyertai Kejohanan Kebangsaan itu yang bermula hari ini, dan menganggap tindakan tersebut sebagai satu halangan terhadap pembangunan sukan dan merupakan satu kesalahan besar mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997.

Dhanaraj yang juga pengerusi Jawatankuasa Teknikal TM berkata atlet daripada negeri tersebut tidak dibenarkan untuk mewakili Selangor, kerana pihaknya telah menerima permohonan daripada dua pihak untuk menyertai kejohanan itu menggunakan surat rasmi TNS.

Pemohonan pertama datangnya daripada ahli jawatankuasa yang baharu di bawah Arasu yang terdiri daripada 52 atlet, manakala yang kedua diterima daripada ahli jawatankuasa yang lama di bawah bekas Presiden C.K. Karan.

“Masalah utama di sini adalah masalah dalaman mereka. Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) telah menasihatkan mereka mengadakan AGM semula, tetapi kedua-dua pihak tidak mahu melakukannya.

“Jadi kami telah meminta atlet berkenaan bertanding di bawah kelab-kelab premier dan kami telah berikan kepada mereka senarai kelab yang bersetuju menerima atlet berkenaan. Tetapi TNS telah tidak mendaftarkan mereka, jadi kami secara automatik mendaftarkan mereka di bawah kelab premier dan terpulang pada atlet berkenaan sama ada mereka mahu menyertainya atau tidak.

“Ada yang telah hadir untuk sertai acara ‘poomsae’ (seni). Jumlah sebenar atlet dari Selangor yang menyertainya akan diketahui esok, apabila ‘kyorugi’ (tempur) bermula esok. Jawatankuasa Displin juga akan menemuramah beberapa atlet dari Selangor bagi mengetahui sama ada TNS ada mengugut mereka untuk tidak menyertainya,” katanya.

Tahun lepas PJS telah meminta TNS untuk mengadakan semula AGMnya kerana mesyuarat itu tidak dijalankan dengan betul.

Semasa AGM tersebut yang diadakan pada bulan Mei, Timbalan Presiden pada ketika itu Arasu, telah menewaskan Presiden TNS Karan untuk mengambil alih TNS.

Sementara Karan, yang memegang jawatan itu hampir 30 tahun berkata, dia akan mengadakan satu AGM TNS pada 20 Mac dan telahpun menghantar notis 45 hari kepada semua pemegang taruh.

“Apabila saya ke PJS, mereka mengatakan sayalah Presiden TNS apabila perkara ini berlaku, jadi sayalah yang bertanggungjawab untuk mengadakan AGM semula. Saya telah keluarkan semua jemputan yang mana saya tandatangani sebagai Presiden penggal ‘2016-2018’.

“Jadi nanti kita lihat berapa ramai (ahli gabungan) yang datang. Jika majoriti kata mereka mahu bersama mereka (kem Arasu), jadi oklah atau sebaliknya. Apa yang penting ialah kita buat AGM mengikut peraturan dan teruskan pembangunan sukan ini di negeri ini,” katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia