Peranan Malaysia dalam perang cip

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

MALAYSIA pernah diiktiraf antara destinasi pelaburan semi-konduktor penghasilan cip terbaik dunia. Kilang semi-konduktor utama dunia pernah bertapak di negara ini. Malaysia diperakui mampu menjadi Harimau Asia setanding Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Hong Kong dalam industri penghasilan cip.

Industri semi-konduktor di Malaysia juga menjadi pembekal kepada gergasi cip dunia, khususnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS). Namun, senario itu kian pudar. Teknologi ‘cip’ yang dianggap teras pertumbuhan ekonomi dan komponen penting dalam inovasi teknologi semi-konduktor kini diwarnai sepenuhnya oleh China. Wafer silikon bersaiz nano yang lebih tipis daripada rambut manusia meliputi lebih 40 bilion komponen halus memberi kesan besar terhadap ekonomi global sekarang.

Apakah penting cip kepada manusia? Kehidupan seharian kita pasti hambar tanpa telefon bimbit, tablet, komputer, talian telekomunikasi atau peranti pintar masa kini. Kehadiran Covid-19 memberi impak sangat besar kepada dunia cip. Norma baharu telah memperkenalkan budaya bekerja dari rumah (BDR).

Ia bermakna semua komunikasi dalam talian demi melaksanakan tugas penting, proses pembelajaran, persekolahan, perolehan maklumat, kerja kajian, pengurusan operasi, perkhidmatan perubatan dan mesyuarat menerusi aplikasi Zoom, bermula daripada kelahiran sebuah cip yang mikro.

Penulis mendapati teknologi cip kian halus dan semakin berkuasa serta lebih mampu dimiliki setiap orang. Cip sangat penting kepada sesebuah peranti.

Cip juga boleh menjadi teras kepada sistem kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI). Teknologi terkini sangat kompleks kerana litar bersepadu atau integrated circuits (IC) berkuasa menyokong sistem komputer, telefon pintar, kereta, pelayan pusat data hingga konsol permainan. Ketika dunia masih bergelut dengan Covid-19, pastinya perdagangan antarabangsa berkaitan cip mempunyai nilai sangat tinggi.

Perang cip alaf baharu kian ketara sekarang. AS berusaha keras untuk menghentikan bekalan cip kepada Huawei. Pertengahan 2020, AS mula mengadakan sekatan ke atas pembuat cip terbesar China, Semiconductor Manufacturing International Corporation (SMIC) dengan alasan ia digunakan dalam sistem ketenteraan China.

Dua bulan selepas insiden itu, China nekad meningkatkan autonomi dalam pengeluaran semi-konduktor bagi meningkatkan kemandirian teknologi China.Penulis sebenarnya keliru dengan status China. Bermula 2018, China ialah pengimport cip terbesar melibatkan nilai USD300 bilion (RM1,244 bilion). Persoalannya, bagaimana dalam masa singkat, China boleh menukar status pengimport kepada pengeksport cip terbesar dunia.

Artikel Berkaitan:

Jelas sekali China sudah mengkaji kekuatan surah Al-Mujaadilah [58:11] bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: Berlapang-lapanglah dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya ALLAH akan memberi kelapangan kepada kamu. Dan apabila dikatakan: Berdirilah kamu maka berdirilah, nescaya ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Cuma, penulis sedang memikirkan apakah kesan perang cip antara China dan AS kepada Malaysia. Di manakah pendirian Malaysia dalam hal ini. Penulis juga mengharapkan ada kepastian ketara dalam perang cip antara dua kuasa besar dunia itu. Barangkali Malaysia boleh mula mengkaji bagaimana China memanipulasikan industri cip. Bukankah Malaysia pernah menjadi pengeluar cip terbesar di Asia suatu ketika dahulu?

Kesimpulannya, Malaysia perlu buat keputusan bagaimanakah untuk meraih keuntungan daripada perang cip antara China dan AS.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)