X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Sabah rekod dua kluster tempat kerja hari ini

Sabah merekodkan dua kluster tempat kerja pada Khamis iaitu Kluster Paris Tiga di Kinabatangan dan Kluster Brumas Camp di Kalabakan.
A
A

KOTA KINABALU - Sabah merekodkan dua kluster tempat kerja pada Khamis iaitu Kluster Paris Tiga di Kinabatangan dan Kluster Brumas Camp di Kalabakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Paris Tiga mencatatkan 29 kes melibatkan penularan di Kilang Sawit Bell di Kinabatangan dicetuskan daripada jangkitan kes indeks seorang wanita berusia 41 tahun yang dikesan positif pandemik itu pada 14 Jun lepas.

“Susulan kes itu, saringan kontak rapat mengesan 28 lagi kes positif penduduk perumahan kilang terbabit. Semua kes positif telah menjalani penilaian dan pemeriksaan di Hospital Kinabatangan seterusnya dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah Kinabatangan," menurutnya dalam kenyataan malam Khamis.

Masidi, yang juga jurucakap rasmi Covid-19 Sabah berkata, Kluster Bruma Camp pula adalah kluster membabitkan 20 kes di Mukim Brumas melibatkan penularan jangkitan di Perumahan Brumas Camp, Ladang Perkayuan Sabah Softwood di Kalabakan.

"Kes indeks adalah guru lelaki berusia 50 tahun disahkan positif Covid-19 di Klinik Kesihatan Tawau pada 12 Jun dan saringan dijalankan mengesan 19 lagi kes positif dalam kalangan kontak rapat, rakan sekerja dan penduduk yang tinggal di perumahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Sabah pada Khamis merekodkan 203 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri itu berjumlah 68,232 manakala pesakit sembuh yang dibenarkan keluar hospital pula seramai 220 orang menjadikan jumlah kumulatif 66,116 orang. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!