Surat Hishammuddin jadi PM: Polis sahkan terima laporan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menerima laporan berhubung surat yang mengaitkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang kononnya menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap bagi mempersembahkan jumlah sokongan Ahli-Ahli Parlimen.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes ini selanjutnya akan dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Setiausaha Akhbar Hishammuddin, Mohd Hafiz Ariffin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung satu surat yang ditulis kepada Yang di-Pertuan Agong, yang mendakwa Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu mendapat sokongan untuk menjadi perdana menteri yang baharu.

Mohd Hafiz berkata, surat tersebut palsu dan disebarkan dengan niat untuk memburukkan reputasi Hishammuddin serta mewujudkan kekeliruan orang ramai.

"Surat palsu ini adalah taktik kotor pihak yang berkepentingan untuk menangguk di air yang keruh, mengambil peluang di saat situasi politik dan negara berada dalam keadaan yang getir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Surat berkenaan direka dengan menggunakan kepala surat Bendahari Agung Barisan Nasional, tandatangan Hishammuddin serta cap perakuan penerimaan surat oleh Bahagian Khidmat Pengurusan Istana Negara bagi tujuan supaya ia kelihatan seolah-olah suatu surat yang sahih. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Surat palsu: Setiausaha Akhbar Hishammuddin buat laporan polis

Artikel Berkaitan:

Surat tawar diri jadi PM: Hishammuddin gesa dalang disiasat