Sewa kondo mewah jalankan operasi judi dalam talian

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga unit kediaman di sebuah kondominium mewah di Jalan Tun Razak di sini, yang dijadikan pusat operasi perjudian dalam talian, diserbu polis petang Khamis.

Dalam serbuan bermula pada kira-kira 5.30 petang itu, lapan lelaki termasuk tiga warga China berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun ditahan bersama wang tunai RM70,050 dan beberapa peralatan komputer.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, tiga unit kediaman itu disewa antara RM6,500 hingga RM10,000 sebulan oleh sindiket.

"Kita menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan sindiket ini dan siasatan awal mendapati mereka bukan sahaja menjalankan kegiatan perjudian dalam talian tetapi juga dipercayai menawarkan pelaburan tidak wujud.

"Sasaran mangsa mereka ialah warga Singapura dan tempatan... siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti tempoh sindiket ini beroperasi," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan pada Khamis.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. - Bernama

Artikel Berkaitan: