Sektor pertanian, penternakan, industri makanan terus dibenar beroperasi

Sektor pertanian, penternakan, perikanan serta industri makanan akan terus dibenarkan beroperasi selaras prosedur operasi standard Majlis Keselamatan Negara dalam Fasa Dua, Tiga dan Empat Pelan Pemulihan Negara. - Gambar hiasan
Sektor pertanian, penternakan, perikanan serta industri makanan akan terus dibenarkan beroperasi selaras prosedur operasi standard Majlis Keselamatan Negara dalam Fasa Dua, Tiga dan Empat Pelan Pemulihan Negara. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor pertanian, penternakan, perikanan serta industri makanan akan terus dibenarkan beroperasi selaras prosedur operasi standard Majlis Keselamatan Negara dalam Fasa Dua, Tiga dan Empat Pelan Pemulihan Negara

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya akan memastikan sektor-sektor ini untuk terus beroperasi tanpa sebarang gangguan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bagi menjamin kelangsungan rantaian ekonomi serta pengusaha yang terlibat.

Dalam kenyataan pada Khamis, beliau berkata, sehingga semalam, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 105,869 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan.

Beliau turut meninjau operasi di loji pemprosesan sarang burung walet PT Swift Marketing Sdn Bhd bagi memastikan operasi loji ini yang terlibat dalam pasaran eksport tidak terganggu dan berterusan sepanjang masa.

Mengenai industri burung walet negara, Ronald berkata, sehingga April lepas, jumlah eksport industri ini mencecah 962 tan metrik dengan nilai RM714 juta, menunjukkan eksport komoditi ini kekal kukuh terutamanya di kala negara masih mengharungi penularan pandemik Covid-19.

Pada tahun lepas, jumlah eksportnya adalah 3,640 tan metrik bernilai RM1.385 bilion dan tahun sebelumnya sebanyak 5,654 tan metrik bernilai RM1.154 bilion.

Menurutnya, sehingga tahun ini, sebanyak 41 loji telah diluluskan Pihak Berkuasa Negara China iaitu 38 loji sarang burung walet bersih (EBN-RC) dan tiga buah loji sarang burung walet belum bersih (EBN-RUC).

Bagi memenuhi protokol eksport sarang burung walet ke negara China, katanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengakreditasi dan memberi pentauliahan persijilan Veterinary Health Mark (VHM) kepada 30 loji pemprosesan dan 44 lagi bagi persijilan Amalan Kebersihan Veterinar Yang Baik (GVHP).

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 2,905 buah rumah burung walet telah berjaya mendapat pensijilan Amalan Pertanian Baik (myGAP).- Bernama