X

Kindly register in order to view this article
!

Tuntutan saman setengah juta Hyo-seok tak sah

Hyo-Seok pernah menjalani sesi pemilihan skuad Perak pada 2019.
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) menyifatkan tuntutan saman berjumlah hampir RM500,000 yang dikemukakan pemain dari Korea Selatan, Jeon Hyo-seok sebagai tidak sah.

Menurut sumber rapat PAFA, Hyo-seok didapati membuat tuntutan berkenaan dengan hanya menggunakan salinan kontrak yang diberikan kepadanya sebagai rujukan dan bukannya kontrak yang telah ditandatangani kedua-dua belah pihak.

“Ya, pemain berkenaan (Hyo-seok) ada datang ke Perak untuk menjalani sesi pemilihan pada 2019 tetapi bila kita minta dia untuk turun latihan, dia tak turun.

“Mujurlah ketika itu PAFA belum tandatangan apa-apa, sebab bila buat pemeriksaan, rupa-rupanya dia ada masalah kecederaan. Masalah kecederaan lama, jadi tak adalah tandatangan apa-apa.

“Lagipun selepas itu bila pandemik Covid-19 melanda, memang perkara itu pun ikut tertangguh. Difahamkan, PAFA tak boleh nak buat kenyataan balas dan dia pun mungkin kena buat laporan lain,” kata sumber berkenaan kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Terdahulu, PAFA berdepan kemungkinan disaman selepas Hyo-seok membawa perkara berkenaan kepada pengetahuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sumber itu turut menafikan PAFA pernah menandatangani kontrak dengan Hyo-seok sama ada untuk beraksi bersama skuad Perak II atau skuad Liga Super Perak.

“Dia tidak pernah bermain untuk Perak atau Perak II. Memang nampak sangat, dia cuba mengambil peluang ke atas PAFA. Apa pun, PAFA perlu selesaikan perkara ini dengan segera,” ujarnya.

Menurut sumber terbabit, kes itu sepatutnya didengari di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland setelah PAFA turut mengemukakan hujah melalui afidavit.

“Tetapi ia tidak dapat dibicarakan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia ketika itu sehingga ke hari ini,” jelasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!