X

Kindly register in order to view this article
!

Satu kluster baharu Covid-19 di Bera

Satu kluster baharu melibatkan sebuah pasar raya dilaporkan di Bera pada Khamis dengan merekodkan 18 individu positif Covid-19. - Gambar hiasan
A
A

KUANTAN - Satu kluster baharu melibatkan sebuah pasar raya dilaporkan di Bera pada Khamis dengan merekodkan 18 individu positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, kluster tersebut dikenali sebagai Kluster Sentral Triang.

Menurutnya, nama kluster merujuk kepada lokaliti tempat kes indeks bekerja iaitu sebuah pasar raya yang disyaki berlakunya penularan wabak di tempat kerja.

"Difahamkan kluster ini bermula apabila salah seorang pekerja pasar raya pergi menjalani saringan bergejala di klinik kesihatan bersama seorang ahli keluarga. Hasil ujian saringan mendapati kedua-duanya positif pada 17 Jun lalu.

“Hasil saringan kontak rapat keluarga mendapati kesemua enam ahli keluarga yang tinggal serumah juga positif. Seramai 137 individu disaring dalam kluster ini dengan 18 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, terdapat dua kes kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 116 kes.

Katanya, bagi kes kematian ke-115 membabitkan seorang lelaki berumur 73 tahun dari Felda Tembangau 1, Bera dan mempunyai latar belakang penyakit diabetes serta hipertensi.

"Kes ke-116 merupakan seorang lelaki berumur 58 tahun dari Jalan Warga Emas, Triang, Bera. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kluster aktif yang direkodkan di Pahang mencatatkan pertambahan sebanyak 93 kes.

“Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 27 kes dengan jumlah keseluruhan 46 kes), Kluster Indera Mahkota 16 (pertambahan 44 kes dengan jumlah keseluruhan 115 kes), Kluster Lorong Empat Jerantut (pertambahan 6 kes dengan jumlah keseluruhan 47 kes).

“Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 11 kes dengan jumlah keseluruhan 286 kes) dan Kluster Jaya Gading (pertambahan 5 kes dengan jumlah keseluruhan 180 kes),” jelasnya.

Dr Bahari menambah, sebanyak 110 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan bagi daerah Kuantan sekali gus menjadikannya antara tujuh daerah mencatatkan kes tertinggi di Pahang.

Katanya, enam lagi daerah mencatatkan pertambahan kes baharu iaitu Jerantut (22 kes), Temerloh (11 kes), Bera (10 kes), Lipis (6 kes), Raub (2 kes) dan Maran (1 kes).

"Dengan itu, Pahang memperoleh 162 kes baharu dan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif Covid-19 ialah 12,618 kes," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!