Video beruang cedera dirakam di kebun getah lama: Perhilitan

Rakaman video berdurasi 29 saat menunjukkan seekor beruang berjalan dalam keadaan terhincut-hincut di cerun bukit dengan himpunan kayu yang ditebang tular dalam media sosial. - Foto Facebook Persatuan Haiwan Malaysia
Rakaman video berdurasi 29 saat menunjukkan seekor beruang berjalan dalam keadaan terhincut-hincut di cerun bukit dengan himpunan kayu yang ditebang tular dalam media sosial. - Foto Facebook Persatuan Haiwan Malaysia
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan video seekor beruang matahari yang tular dalam media sosial dirakamkan di Kampung Chat, Lipis.

Bagaimanapun, lokasi video itu bukan di dalam kawasan hutan yang dikatakan sedang mengalami pembalakan besar-besaran, sebaliknya di kawasan kebun getah lama yang ditebang.

"Jabatan terlebih dahulu menerima aduan penduduk berhampiran mengenai gangguan pada sarang ternakan kelulut, 8 Jun lepas dan siasatan pada esoknya menjumpai kesan tapak dan kesan makan beruang menyebabkan perangkap dipasang di lokasi strategik keesokannya.

"Pihak jabatan juga masih melakukan pemantauan berterusan di lokasi terlibat memandangkan beruang tersebut dipercayai mengalami kecederaan," menurut jabatan itu menerusi kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook pada Khamis.

Jabatan itu juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan hidupan liar itu untuk menghubungi talian hotline di 1-800-88-5151.

Pada Rabu, rakaman video berdurasi 29 saat menunjukkan seekor beruang berjalan dalam keadaan terhincut-hincut di cerun bukit dengan himpunan kayu yang ditebang tular dalam media sosial selain turut dikongsikan badan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan. - Bernama

Artikel Berkaitan: