Gangguan telekomunikasi, penyiaran satelit MEASAT-3 pulih: SKMM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gangguan perkhidmatan telekomunikasi dan penyiaran menggunakan satelit MEASAT-3 sejak 21 Jun lepas telah dipulihkan, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

MCMC dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan gangguan itu berlaku apabila posisi satelit MEASAT-3 terjejas disebabkan oleh masalah teknikal, namun satelit tersebut kini diletakkan kepada mod operasi biasa selepas kerja baik pulih dijalankan.

“Transponder juga telah dihidupkan kembali sejak jam 9.30 pagi tadi bagi membolehkan pelanggan menyambung semula perkhidmatan mereka dan proses ini dijangka mengambil masa selama beberapa jam.

“Walaupun punca kejadian sebenar masih belum diketahui, namun siasatan awal mendapati berlakunya kegagalan penujah. Oleh itu, penujah sokongan telah digunakan untuk mengawal satelit berkenaan tanpa sebarang impak kepada operasi dan jangka hayat satelit yang dimaksudkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut SKMM, insiden itu telah mengakibatkan gangguan ke atas pelbagai perkhidmatan seperti terus ke rumah (DTH), pengagihan saluran video, perkhidmatan telefon mudah alih oleh pihak penyedia perkhidmatan dan juga perkhidmatan Satelit Bukaan Amat Kecil (VSAT).

Dianggarkan seramai 14,000 pelanggan telah terkesan akibat insiden itu dan SKMM meminta orang awam menghubungi MEASAT sekiranya perkhidmatan yang dilanggani masih terjejas.

Pada 21 Jun lepas, penyedia satelit Astro Malaysia Holdings Bhd iaitu MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd memaklumkan saluran perkhidmatan televisyen satelit itu telah mengalami gangguan siaran. - Bernama

Artikel Berkaitan: