Sukan SEA: Vietnam masih belum buat keputusan

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

VIETNAM belum membuat sebarang keputusan mengenai status penganjuran Sukan SEA ke-31, yang sepatutnya berlangsung bermula dari 21 November hingga 2 Disember tahun ini, di sebalik pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda akan reda.

Setelah dua minggu selepas cadangan Jawatankuasa Olimpik Vietnam (VOC) agar temasya dwitahunan itu ditangguhkan sehingga Mei atau Jun 2022 ditolak, VOC sekali lagi mengadakan mesyuarat dengan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) secara maya pada Khamis, namun tanpa sebarang kata putus.

Yang pasti, VOC kini memohon tempoh dua minggu lagi sebelum mesyuarat secara maya ditetapkan pada 8 Julai depan untuk mendapat pengesahan daripada kerajaan Vietnam mengenai nasib Sukan SEA Hanoi.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, dalam mesyuarat pada Khamis, VOC sekali lagi mencadangkan dua pilihan iaitu sama ada untuk menganjurkan Sukan SEA pada akhir tahun ini atau menangguhkannya pada pertengahan tahun 2022.

"Sehingga hari ini, VOC belum mendapat pengesahan dari kerajaan...Lapan daripada 11 negara anggota, termasuk Malaysia masih membantah cadangan untuk menunda temasnya itu ke tahun depan atas pelbagai alasan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

"Sukar untuk meramalkan apa yang akan terjadi dalam tempoh dua minggu lagi, apa pun keputusan yang diperoleh VOC dari kerajaan kelak, (ia) mesti disampaikan kepada Majlis SEAGF yang dianggotai 11 presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan yang terlibat, untuk menyokong keputusan tersebut,” tambahnya.

Ditanya kemungkinan Sukan SEA ditunda sehingga ke 2023 dan Kemboja diberikan hak untuk menjadi tuan rumah edisi 2025, Mohamad Norza kelihatan agak pesimis kerana menurutnya, Kemboja sedang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah edisi 2023, sementara Thailand untuk edisi 2025.

Beliau berkata, penyelesaian hanya dapat dibincangkan setelah mendapat keputusan muktamad dari Vietnam.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Norza sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan penangguhan itu memandangkan atlet negara bakal mengharungi kalendar sukan yang padat seperti penyertaan di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dari 4 hingga 20 Februari, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 September).

Ini merupakan kali kedua Vietnam menjadi tuan rumah Sukan SEA selepas kali pertama pada edisi 2003, dan telah menyenaraikan 520 acara dari 40 sukan untuk Sukan tahun ini.

Pertama kali temasya sukan dwitahunan dibatalkan adalah pada 1963, apabila Kemboja tidak dapat menjadi tuan rumah kepada kejohanan acara pelbagai sukan itu berikutan ketidakstabilan politik. - Bernama