X

Kindly register in order to view this article
!

Tolak sokong undi tidak percaya buka ruang kerajaan jaga rakyat

Wan Saiful Wan Jan
A
A

SHAH ALAM - Komitmen Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya Parlimen bersidang semula membuka ruang bagi kerajaan meneruskan tumpuan kepada usaha menjaga nasib rakyat serta membina ekonomi negara.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sokongan yang diberikan kepada Pelan Pemulihan Negara dan usaha-usaha kerajaan adalah satu perkara baik.

“Sekarang bukan masanya untuk bertelagah. Rakyat sudah muak dengan orang politik yang memikirkan diri sendiri tatkala rakyat merayu dibantu. Rakyat sedang susah,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Pada Rabu, Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersetuju Parlimen bersidang semula mengikut peraturan mesyuarat sedia ada atau kesesuaian pindaan yang diperlukan.

Bagaimanapun mereka menegaskan tidak akan menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan dalam sidang berkenaan kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO ikrar tak akan sokong undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, kesatuan dan kestabilan diperlukan bagi membolehkan segala perancangan kerajaan dilaksanakan dengan teratur serta teliti.

“Kita melihat betapa kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin berusaha keras memberikan pelbagai bentuk bantuan dan pertolongan kepada semua lapisan rakyat.

“Usaha-usaha ini yang patut diteruskan dan mesti disokong. Kita mesti penuhi keperluan rakyat dan hentikan perdebatan politik yang tidak membawa faedah kepada rakyat,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!