Eksport sarang burung walet ke China kekal kukuh

Ronald (kiri) memeriksa sarang burung walet yang dibersihkan di di loji pemprosesan sarang burung walet, pada Khamis.
Ronald (kiri) memeriksa sarang burung walet yang dibersihkan di di loji pemprosesan sarang burung walet, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Eksport bekalan sarang burung walet mentah ke China kekal kukuh walaupun negara masih dilanda pandemik Covid-19.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, nilai eksport komoditi tersebut mencecah 962 tan metrik membabitkan nilai RM714 juta setakat April tahun ini.

Menurutnya, jumlah eksport komoditi tersebut pada tahun 2019 ialah sebanyak 5,654 tan metrik bernilai RM1.154 bilion dan dilihat sebagai antara industri berasaskan ternakan yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara.

“Sehingga tahun ini, sebanyak 41 loji diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negara China iaitu 38 loji sarang burung walet bersih (EBN-RC) dan tiga buah loji sarang burung walet belum bersih (EBN-RUC).

“Bagi memenuhi protokol eksport sarang burung walet ke negara China, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengakreditasi dan memberi pentauliahan pensijilan Veterinary Health Mark (VHM) kepada 30 loji pemprosesan dan bagi persijilan Good Veterinary Hygiene Practice (GVHP) sebanyak 44 loji pemprosesan.

“Sebanyak 2,905 buah rumah burung walet berjaya mempunyai persijilan MyGAP,” katanya ketika meninjau operasi di loji pemprosesan sarang burung walet yang diberi kelulusan untuk mengeksport komoditi tersebut ke negara China, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri I MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah DVS, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Dalam pada itu, Ronald berkata, MAFI melalui DVS juga berjaya mewujudkan satu Program Sistem Pendaftaran Premis Walet METS bagi mengukuhkan sistem daya jejak untuk mencapai piawaian global dan menjadi salah satu syarat pengeksportan sarang burung walet Malaysia ke negara China.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, DVS mengambil pelbagai langkah untuk terus meningkatkan pengeluaran Edible Bird Nest (EBN) melibatkan aktiviti dalam rantaian nilai dalam industri EBN iaitu pengeluaran sarang burung walet, pengumpulan, pemprosesan, pemasaran galakan pendaftaran premis walet dengan pihak tersebut.

Tambahnya, sebanyak 12,954 premis walet didaftarkan oleh DVS di seluruh negara setakat ini.

“DVS sentiasa memantau industri ini bagi mengelakkan penyalahgunaan sumber produk tiruan, mengamalkan urus tadbir industri yang diiktiraf oleh negara pengimport.

“DVS juga bekerjasama dengan pemain industri, pihak berkuasa dalam dan luar negara bagi memastikan industri ini beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan supaya syarikat serta loji pemprosesan dalam negara memenuhi piawaian yang ditetapkan dan layak membuat permohonan bagi tujuan pengeksportan.

“Selain itu, DVS juga mengadakan kursus-kursus berkaitan dengan Good Manufacturing Practice (GMP) untuk pihak pemprosesan sarang burung walet supaya loji pemprosesan menepati kehendak kualiti terutamanya pengauditan oleh pihak kerajaan China,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ronald berkata, MAFI akan memastikan operasi sektor tersebut tanpa sebarang gangguan sepanjang Fasa Pemulihan Negara dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan rantaian ekonomi serta pengusaha yang terlibat.

Katanya, MAFI melalui Jabatan dan agensi di bawahnya mengeluarkan sebanyak 105,869 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan setakat Rabu.