Syarat pembiayaan Skim S3P, DanaNITA dilonggar bantu usahawan terjejas

Azizah Mohd Dun
Azizah Mohd Dun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) melonggarkan syarat serta menambah baik Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) dan DanaNITA bagi membantu usahawan yang terkesan oleh pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, antara syarat dilonggarkan ialah perniagaan hanya perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tidak perlu beroperasi lebih enam bulan.

"Tempoh bernafas (grace period) juga dilanjutkan dari enam bulan kepada 12 bulan serta dikecualikan syarat daripada mempunyai lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kelonggaran dokumen berkaitan permohonan seperti sebut harga ubah suai, pembelian mesin dan alatan turut dikecualikan, manakala penyata akaun bank hanya diperlukan untuk tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Skim khas S3P dilancarkan pada 7 April lalu untuk membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) termasuk mikro bumiputera yang terkesan oleh krisis pandemik, manakala DanaNITA merupakan skim pembiayaan khusus untuk usahawan wanita yang diperkenal pada 2017.

Azizah berkata, Mara menyasarkan untuk membantu 1,000 usahawan yang terjejas dengan peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah S3P dan 200 usahawan wanita di bawah skim DanaNITA dengan peruntukan kewangan sebanyak RM10 juta.

Beliau berkata, untuk DanaNITA, Mara mengambil inisiatif menambah baik skim itu dengan menaikkan had maksimum pembiayaan hingga RM150,000 berbanding RM50,000 sebelum ini, dan jika pembiayaan di bawah RM50,000, mereka tidak perlu menyediakan penjamin atau cagaran.

“Melalui pendekatan ini, lebih ramai usahawan wanita dapat diberikan akses bukan sekadar untuk mereka bertahan ketika pandemik ini, malah kita juga memberikan tawaran pakej pembiayaan yang lebih baik supaya perniagaan mereka akan terus berkembang.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan sekadar untuk memastikan perniagaan usahawan terus berdaya tahan tetapi dalam masa sama akan kembali merancakkan aktiviti perniagaan di peringkat IKS," katanya.

Usahawan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pejabat Mara Negeri atau Pejabat Mara Daerah di seluruh negeri atau terus memohon secara dalam talian melalui portal MyUsahawan yang boleh diakses melalui laman web rasmi Mara www.mara.gov.my atau secara terus di aplikasi MyUsahawan. - Bernama