PKPD di tujuh kawasan di Kedah, Sabah

Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di beberapa lokaliti di Sabah dan Kedah bermula 26 Jun hingga 9 Julai ini. - Gambar hiasan
Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di beberapa lokaliti di Sabah dan Kedah bermula 26 Jun hingga 9 Julai ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di tujuh kawasan di Kedah dan Sabah bermula Sabtu hingga 9 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti di Kedah melibatkan Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim serta Kawasan Perindustrian Bestgrade, Pokok Sena.

Menurut beliau, di Sabah pula membabitkan kawasan Kampung Muhibbah, Menggatal, Kota Kinabalu; Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau; Kampung Kuala Merotai, Kalabakan; Kampung Tahak, Membakut, Beaufort serta Flat Indah Jaya, Sandakan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di tiga lokaliti di Temerloh Pahang melibatkan Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur ditamatkan pada Jumaat seperti yang dijadualkan.

Menurutnya, PKPD di Kampung Tajin, Kuala Berang, Terengganu; Ladang Tereh Mill, Kluang, Johor dan Kampung Kolong 2, Kuching, Sarawak juga ditamatkan pada Jumaat.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD di Kampung Lakai, Jelebu, Negeri Sembilan ditamatkan pada Jumaat lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 27 Jun.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, beberapa lokaliti termasuk empat Rumah Panjang di Batang Oya, Dalat, Mukah, Sarawak turut ditamatkan pada Jumaat iaitu lebih awal daripada jadual yang ditetapkan pada 4 Julai.

“Lokaliti tersebut melibatkan Rumah Panjang Bala anak Umba; Rumah Panjang Tulu anak Sli; Rumah Panjang Duah anak Entingi; Rumah Panjang Balik anak Gema; Sekolah Kebangsaan (SK) St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh.

“Pada masa sama, KKM mendapati trend kes telah menurun dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” tambahnya.