Hospital Shah Alam berstatus hospital rawatan bukan pesakit Covid-19

Dr Noor Azmi membantu penghuni Pusat Jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Abdul Aziz Said, 26, untuk menerima suntikan vaksin. -Foto Bernama
Dr Noor Azmi membantu penghuni Pusat Jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Abdul Aziz Said, 26, untuk menerima suntikan vaksin. -Foto Bernama
A
A
A

BANTING - Hospital Shah Alam kini bertukar status daripada Hospital Hibrid Covid-19 kepada hospital rawatan bukan pesakit Covid-19 sepenuhnya (Hospital Fully Non Covid-19) yang pertama di Selangor, berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, susulan pertukaran status itu, Hospital Shah Alam hanya akan menerima kes bukan Covid-19 dan penerimaan kes wabak itu hanyalah di peringkat jabatan kecemasan sahaja.

"...(Penerimaan kes) Covid-19 hanya berada di jabatan kecemasan dan kemudian kita akan rujuk kes Covid-19 sama ada ke Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

"Apabila Hospital Shah Alam dijadikan hospital rawatan bukan Covid-19 sepenuhnya, ia boleh menjalankan operasi pembedahan dan pengoperasian hospital seperti biasa," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Program Lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Outreach (Skuad Vaccine On The Go) Selangor, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, keputusan berkenaan diambil susulan pertukaran status Hospital Ampang yang kini dijadikan hospital rawatan pesakit Covid-19 sepenuhnya berkuat kuasa pada Rabu.

Dr Sha'ari berkata, pihaknya turut menyasarkan dua lagi hospital hibrid Covid-19 iaitu Hospital Kajang dan Hospital Banting untuk dijadikan sebagai hospital rawatan bukan pesakit Covid-19 sepenuhnya selepas ini.

Sementara itu, Dr Sha'ari berkata, tiga bidang rawatan utama di Hospital Ampang iaitu bidang penyakit berkaitan darah, obstetrik (perbidanan) dan pediatrik (kanak-kanak) masih dikekalkan walaupun fasiliti tersebut kini bertukar status kepada hospital rawatan pesakit Covid-19 sepenuhnya.

"Bagi Hospital Ampang, ia adalah pusat rujukan kepada penyakit berkaitan darah. Apabila kita jadikan hospital rawatan Covid-19 sepenuhnya, kita masih lagi kekalkan Hospital Ampang sebagai pusat rujukan darah serta kita juga kekalkan operasi perbidanan dan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

“Tiga disiplin ini tidak diusik tetapi (bidang) lain kita akan jadikan sebagai rawatan Covid-19 sepenuhnya," katanya.

Dr Sha'ari berkata, kira-kira 700 katil disediakan di Hospital Ampang bagi menampung pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat.

"Pada masa ini kita merawat 1,200 hingga 1,500 (pesakit kategori ketiga) di MAEPS. Semalam (Rabu) lebih kurang 100 pesakit kategori empat di sana yang mana 94 pesakit kategori ini kita akan rujuk ke hospital rawatan Covid-19 sepenuhnya.

"Sebab itu kita perlukan hospital rawatan pesakit Covid-19 sepenuhnya bagi memastikan fungsi rawatan bukan Covid-19 di hospital lain dapat dijamin dan kes berkaitan wabak itu diuruskan oleh hospital berstatus rawatan Covid-19 sepenuhnya," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. - Bernama