Mercy Malaysia sumbang RM500,000 aset perubatan

Khemah Persatuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) yang siap didirikan pada persiapan Hospital Medan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan pada Khamis. -Foto Bernama
Khemah Persatuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) yang siap didirikan pada persiapan Hospital Medan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan pada Khamis. -Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Mercy Malaysia menyumbangkan aset perubatan bernilai RM500,000 di bawah tindak balas kecemasan untuk membantu melengkapkan hospital medan Covid-19 Labuan, yang dijadual beroperasi pada 26 Jun.

Anggota Exconya merangkap Naib Presiden III, Profesor Madya Dr Shalimar Abdullah berkata, pelan tindak balas kecemasan pelbagai serampang Mercy Malaysia termasuklah penghantaran awal tiga tan peralatan perubatan dan pernafasan (pemekat oksigen perubatan), monitor, pam infusi, tilam angin jenis gelembung, lima khemah kembung (tiga untuk unit rawatan rapi transit dan dua untuk bilik kecemasan), penyaman udara dan peralatan elektrik.

“Ini adalah penglibatan pertama Mercy Malaysia bagi hospital medan Covid-19. Kami berharap dapat mengurangkan beban pekerja petugas kesihatan Labuan dalam menangani kes positif yang melonjak tinggi,” katanya kepada Bernama di hospital medan, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, untuk mempercepatkan lagi persiapan hospital medan itu bagi menerima pesakit ICU Covid-19, Mercy Malaysia turut menggerakkan pasukan perubatan kecemasannya untuk menyediakan bantuan penjagaan intensif bagi meningkatkan kemahiran petugas perubatan tempatan dalam mengendalikan pesakit Covid-19.

“Mercy Malaysia memahami bahawa petugas kesihatan merasa tertekan berikutan pandemik Covid-19. Apa yang kita perlu lakukan sekarang ialah untuk membantu meningkatkan kemahiran petugas kesihatan sedia ada kepada kemahiran penjagaan separa intensif, terutama mereka yang mempunyai pengetahuan asas yang kukuh, dan ini akan dikendalikan oleh sukarelawan Mercy Malaysia, Dr Mafeitzeral Mamat.

“Ini dapat membantu meningkatkan keyakinan mereka untuk merawat pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan oksigen perubatan,” kata Dr Shalimar.

Beliau berkata, petugas kesihatan Labuan akan terlibat secara langsung merawat pesakit Covid-19 di ICU transit hospital medan dengan dibantu sukarelawan Mercy Malaysia yang akan berada di Labuan sekurang-kurangnya selama sebulan.

Hospital medan Covid-19 Labuan yang terletak di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan merupakan usaha sama antara Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Kesihatan (KKM-Jabatan Kesihatan Labuan) yang ditubuhkan berikutan lonjakan kes positif.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, hospital medan yang mempunyai 100 katil itu akan menampung keperluan pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat pesakit yang memerlukan bantuan oksigen perubatan.

“Bagaimanapun pesakit yang mengalami gejala pasca-Covid-19 (di semua peringkat umur yang mengalami kesakitan, kesukaran bernafas, hiperlipiedmia, lesu, letih dan hipertensi) akan dirawat di Hospital Nucleus Labuan,” kata Dr Ismuni.

Labuan kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilanjutkan dengan lapan lokaliti diletakkan di bawah Sekatan Pergerakan Penuh sehingga 28 Jun. - Bernama