ADUN Perak mohon maaf, 'terkhilaf' keluar Amanah

Hasnul pernah menjadi Ketua Pemuda Amanah.
Hasnul pernah menjadi Ketua Pemuda Amanah.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perak memohon maaf secara terbuka kepada kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) susulan keputusan 'khilaf' beliau untuk keluar parti itu bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata demikian sewaktu sesi wawancara di laman Facebook anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Anjung Rakyat Progresif bertajuk 'Seronok ke Jadi Wakil Rakyat?' secara langsung pada malam Rabu.

Dalam wawancara itu, bekas Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu mengakui kekhilafan dan kesilapan itu berlaku disebabkan kebimbangan beliau tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat.

Jelas beliau, hal ini susulan peruntukan dana diberikan kepada ADUN pembangkang terhad menyebabkan beliau terpaksa membuat keputusan untuk keluar parti.

"Saya dengan hati penuh tulus ikhlas mengambil kesempatan memohon maaf kepada rakan-rakan di luar sana di atas kekhilafan dan kelemahan saya yang menyebabkan saya terpaksa memilih jalan yang memberi tohmahan yang sangat besar kepada saya dan saya terima dengan sebaiknya.

"Saya memohon maaf secara peribadi dan inilah pertama kali saya memohon maaf secara terbuka kepada rakan-rakan di luar, rakan-rakan dalam parti lama (Amanah), pimpinan parti (Amanah) negeri dan nasional yang memberi kepercayaan. Saya memohon maaf sekali lagi," katanya dalam sesi wawancara yang turut menampilkan moderator, Raja Azam Shah dan pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Firdaus Johari.

Pada 9 Mac 2020, Hasnul Zulkarnain bersama dua ADUN DAP mengumumkan keluar parti menjadi wakil rakyat bebas selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak berikutan pembentukan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Ketua Pemuda Amanah itu kemudiannya mengambil keputusan menyertai Bersatu pada 29 Julai tahun lalu, atas alasan memilih parti yang mengutamakan kepentingan gabungan kerjasama parti-parti Melayu Islam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, 'jodoh' Hasnul Zulkarnain bersama Bersatu tidak panjang setelah beliau dipecat parti itu setelah difahamkan menyokong Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak baharu bagi menggantikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Disember tahun lalu.

Jodoh Hasnul Zulkarnain bersama Bersatu setelah keluar Amanah tidak lama susulan beliau dipecat parti itu pada penghujung tahun lalu.
Jodoh Hasnul Zulkarnain bersama Bersatu setelah keluar Amanah tidak lama susulan beliau dipecat parti itu pada penghujung tahun lalu.

Baru-baru ini, Hasnul Zulkarnain bersama Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa daripada Amanah memainkan peranan penting membongkar kes pemilikan tanah paya bakau di Sungai Betul Bawah dan Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar.

Kes tanah itu mendapat bantahan penduduk setempat susulan status kebenarannya dikaitkan dengan seorang Exco Perak daripada Bersatu dan pegawai khas beliau.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain menegaskan beliau bersedia untuk dihukum sekiranya tidak lagi dipilih untuk meneruskan perkhidmatan wakil rakyat pada penggal akan datang, namun buat masa sekarang, tanggungjawab itu perlu dilunaskan sebaiknya.

Jelas beliau, keputusan keluar Amanah bagi menyertai Bersatu sebelum ini turut mengambil kira kesukaran beliau untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat DUN Titi Serong kerana beliau bukan anak tempatan.

Tambah Hasnul Zulkarnain, walaupun membuat pilihan berbeza dengan kembali menjadi ADUN Bebas, buat masa ini beliau tetap dengan pendirian memperjuangkan kebenaran menentang kebatilan

“Yang benar itu benar, yang batil itu batil. Soal politik, parti dan khidmat, saya lebih kepada khidmat kepada rakyat. Jiwa dan bakti saya adalah untuk rakyat.

"(Soal hendak sertai parti lain), saya belum ada perancangan lagi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga ADUN Perak umum keluar PH

ARTIKEL BERKAITAN: Hasnul Zulkarnain sertai Bersatu

ARTIKEL BERKAITAN: Hasnul Zulkarnain dipecat Bersatu