Masih banyak bantuan Covid-19 disediakan dan boleh dimohon

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia diakui oleh banyak badan antarabangsa sebagai antara negara terawal yang keluar dengan pelbagai langkah segera untuk memerangi pandemik Covid-19, selain melindungi kesejahteraan rakyat dan menjaga kesinambungan perniagaan.

Pelbagai pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan oleh kerajaan dan institusi untuk mengurangkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah pastinya memberi kesan kepada setiap golongan masyarakat, terutamanya isi rumah dalam kalangan M40 dan B40.

Antara bantuan bagi pemerkasaan perniagaan yang masih disediakan ialah Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS); Program Subsidi Upah 2.0 yang dilanjutkan kepada 31 Julai; Skim Pemulihan Perniagaan Tekun serta Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran.

Selain itu, moratorium bersasar turut ditawarkan dan pemohon yang layak akan diberi pilihan sama ada kelulusan automatik moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Penganalisis Ekonomi dari Universiti Asia e, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, pemberian moratorium bersasar itu dilihat dapat membantu individu dan peniaga untuk menghadapi PKP 3.0 berikutan pengurangan jumlah simpanan yang telah digunakan semasa PKP terdahulu.

“Ini menunjukkan pihak kerajaan dan bank cukup memahami mengenai keperluan masyarakat yang terkesan dan saya berharap pemberian moratorium ini akan berterusan, khususnya diberi secara automatik kepada PKS.

“Mungkin pihak bank boleh mengutip kadar faedah sahaja dan menghentikan sementara kutipan prinsipal buat masa ini untuk mengurangkan tekanan pembiayaan pinjaman mereka,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

PKS membentuk 98.5 peratus (907,065) daripada perniagaan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang melaksanakan moratorium secara automatik selama enam bulan dari April hingga September 2020 untuk membantu rakyat dan perniagaan.

Setakat 21 Mac lepas, bank telah membantu 1.7 juta pemohon bagi bantuan pembayaran dan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus.

Selain moratorium bersasar, masih banyak bantuan Covid-19 lain yang disediakan dan boleh dimohon.

Antaranya Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso bagi individu yang kehilangan pekerjaan; Program Perintis Perkeso; Skim Perumahan Belia serta bantuan sebanyak RM1,000 kepada penganggur untuk mendapatkan pengalaman bekerja.

Bantuan lain ialah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) iaitu kategori isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 mendapat BPR tambahan RM500 manakala bagi isi rumah berpendapatan antara RM2,501 dan RM5,000 akan menerima RM300.

Sementara itu, golongan bujang akan menerima BPR sebanyak RM100.

Untuk warga emas, bantuan khas kewangan bersasar berjumlah RM300 secara one-off disediakan untuk pesara kerajaan, veteran tidak berpencen dan elaun sara hidup nelayan manakala bantuan kebajikan warga emas dinaikkan kepada RM500 sebulan berbanding RM350 sebelum ini.

Bagi inisiatif tidak langsung, potongan cukai tambahan untuk majikan yang menggaji warga emas dan dilanjutkan sehingga 2025 serta had pelepasan cukai bagi rawatan perubatan keperluan khas dan penjagaan ibu bapa dinaikkan kepada RM8,000. - Bernama