Akta Tatacara Jenayah Syariah perlu dipinda

Ahmad Marzuk Shaary
Ahmad Marzuk Shaary
A
A
A

PUTRAJAYA - Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) dan undang-undang tatacara jenayah syariah di negeri-negeri perlu dipinda.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia bagi membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan terhadap individu menghina Islam dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi.

"Mesyuarat khas Pasukan Petugas Menangani Isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada hari ini yang turut disertai oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia secara maya telah membincangkan mengenai penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial," katanya.

Menurutnya, pasukan petugas akan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) secara komprehensif dan menyeluruh mengenai tatacara mengendalikan aduan bagi kesalahan berkaitan penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT.

"Sebagaimana kita sedia maklum, Jun dianggap sebagai Gay Pride Month di mana gerakan LGBT di seluruh dunia termasuk di Malaysia mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka samada melalui perarakan atau media sosial," katanya.

Beliau berkata, pihak tertentu didapati ada memuat naik status dan grafik yang menghina agama Islam di media sosial dalam usaha mereka mempromosi gaya hidup LGBT.

"Tiada tapisan langsung terhadap kandungan video-video berkaitan hubungan sejenis yang giat disebarkan," katanya.

Sehubungan itu Ahmad Marzuk berkata, mesyuarat bersetuju melaksanakan tindakan tegas secara bersepadu dalam kadar segera bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT khususnya di media sosial bagi menunjukkan komitmen penuh kerajaan dalam menangani masalah tersebut.

Artikel Berkaitan: