Mentaliti menang pacu kemaraan Sweden

Pemain tengah Poland, Kamil Jozwiak (kiri) bersaing dengan Forsberg semasa aksi Kumpulan E Euro 2020 di Stadium Saint Petersburg. - Foto AFP
Pemain tengah Poland, Kamil Jozwiak (kiri) bersaing dengan Forsberg semasa aksi Kumpulan E Euro 2020 di Stadium Saint Petersburg. - Foto AFP
A
A
A

TONGGAK Sweden, Emil Forsberg memuji mentaliti menang dalam kalangan pemain Blagult ketika bangkit ketinggalan untuk menewaskan Poland 3-2 di Stadium St Petersburg pada aksi terakhir kumpulan Euro 2020 bagi mengesahkan slot pusingan 16 terbaik.

Pemain tengah kelab liga Jerman, RB Leipzig berusia 29 tahun itu sebelum ini muncul wira Sweden setelah jaringan tunggalnya mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Slovakia selepas terikat tanpa jaringan menentang Sepanyol pada perlawanan pembukaan Kumpulan E.

Pemain kelahiran bandar perindustrian Sundsvall itu kemudiannya meledak dua lagi gol ketika membantu Blagult menewaskan Poland sekaligus mengakhiri saingan dengan status juara kumpulan berkelebihan dua mata mengatasi Sepanyol pimpinan Luis Enrique.

"Sejujurnya amat mengembirakan apabila dapat menjaringkan dua gol hebat untuk menang di sini sekali lagi, seterusnya menjuarai peringkat kumpulan. Kami sebenarnya berdepan cukup banyak tekanan ketika berdepan Poland. Namun apabila setiap pemain kembali membuktikan kemampuan sebagai satu unit pasukan untuk bangkit, kami akhirnya bukan sahaja menang tapi menjuarai kumpulan.

"Kami sebelum perlawanan tahu bahawa Poland akan tampil dengan kekuatan penuh dan berusaha memenangi permainan. Kami berusaha mempertahankan dengan baik seterusnya berjaya mengekang mereka dan bernasib baik, kami mendapat gol awal.

"Keseluruhannya pemain-pemain Sweden telah mempamerkan kekuatan karakter dan mentaliti masing-masing, tiada siapa yang meletakkan sebarang harapan untuk kami menjuarai peringkat kumpulan selepas diundi bersama Sepanyol.

" Saya sangat bangga dengan semangat berpasukan, terutamanya mentaliti yang ditunjukkan setiap pemain untuk memenangi saingan kumpulan begitu kuat," kata bekas tonggak Malmo FF dan GIF Sundsvall tersebut.

Blagult meneruskan pengembaraan epik negara Scandinavia itu di saingan Euro 2020 apabila menjuarai Kumpulan E selepas mengatasi Poland 3-2 di Stadium St Petersburg.

Artikel Berkaitan:

Anak buah Janne Andersson terlebih dulu di depan hasil dua jaringan Emil Forsberg pada minit ketujuh dan 59', sebelum Poland bangkit menyamakan kedudukan dengan dua gol daripada Robert Lewandowski (61') dan (84').

Kebangkitan mendadak Paulo Sousa tidak kekal lama apabila Viktor Claesson memastikan kemenangan buat Sweden dengan gol pada minit ke-93 untuk kemenangan 3-2.

Jaringan pemain berusia 29 tahun yang beraksi untuk kelab sensasi Krasnodar membolehkan Sweden menempah slot pusingan 16 terbaik menentang Ukraine dalam pusingan kalah mati.