JAS siasat penemuan bangkai ikan di Sungai Damansara

Sampel air turut diambil oleh kakitangan JAS Selangor untuk dianalisa.
Sampel air turut diambil oleh kakitangan JAS Selangor untuk dianalisa.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian ikan di Sungai Damansara pada Rabu.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, menerusi siasatan awal, ikan-ikan yang ditemui mati di sepanjang 5 kilometer sungai berkenaan terdiri daripada dua spesies iaitu ikan bandaraya (hypostomus plecostomus) dan tilapia hitam (oreochromis mossambiscus).

Beliau berkata, pengujian 'in-situ' di Sungai Kayu Ara berhampiran struktur perangkap sampah (logboom) yang dijalankan turut mendapati terdapat sedikit buih dan bacaan Oksigen Terlarut (Dissolved Oxygen, DO) adalah 4.5 miligram per liter.

"JAS Selangor turut menelusuri bahagian hulu dan hilir sungai dengan memfokuskan kepada punca-punca pencemaran yang berpotensi dalam lingkungan 10 kilometer dari lokasi ikan ditemui mati.

"Kategori punca-punca yang diperiksa melibatkan beberapa buah kilang berasaskan minuman dan makanan, pusat komersial, pelepasan 'storm water' dari kawasan perumahan dan Loji Rawatan Kumbahan Awam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, beberapa klip video dan gambar tular di media sosial memaparkan keadaan ratusan ikan di Sungai Damansara berhampiran Management and Science University (MSU) yang dilaporkan mati terapung.

Dalam pada itu, Nor Aziah berkata, JAS Selangor turut memeriksa dua loji rawatan kumbahan dan enam sampel pelepasan kumbahan terawat turut diambil untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia.

"Langkah ini adalah bagi memastikan pematuhan kepada standard pelepasan kumbahan terawat yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini diminta untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Tambah beliau, JAS Selangor sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap mana-mana penjenayah alam sekitar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelbagai spesies ikan ditemui mati dihanyut air