Mekanik maut: JKKP Perak ambil tindakan jika langgar undang-undang

Kenyataan JKKP Perak yang diedarkan kepada media mengenai tindakan yang telah diambil jabatan berkenaan mengenai kejadian kemalangan tersebut.
Kenyataan JKKP Perak yang diedarkan kepada media mengenai tindakan yang telah diambil jabatan berkenaan mengenai kejadian kemalangan tersebut.
A
A
A

IPOH - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab membabitkan kes kematian seorang pekerja sebuah pusat servis tayar di Menglembu di sini jika terbukti pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, sepasukan pegawai penyiasat JKKP Perak telah ke lokasi kejadian yang berlaku pada Selasa lalu mengakibatkan seorang lelaki berusia 60 tahun warga tempatan maut ketika sedang menjalankan kerja memasang dan menukar tayar kren.

Menurut beliau, siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa yang bekerja sebagai mekanik sedang dalam proses memasang semula tayar pada rim kren tersebut.

"Namun semasa mangsa sedang mengetuk pin pengunci tayar menggunakan tukul besi untuk memastikan kedudukannya betul dan kemas, pin pengunci tayar tersebut telah terpelanting keluar daripada rim dan menghentam kepala mangsa.

"Pin pengunci tayar seberat 5kg itu turut melayang ke atas dianggarkan setinggi 35 meter dan memecahkan bumbung bangunan bengkel tersebut sebelum jatuh di luar kawasan bengkel," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Zamzurin berkata, susulan siasatan awal itu, JKKP Perak telah mengarahkan majikan untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi aktiviti kerja yang dijalankan tempat kerja berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mekanik maut kepala terkena besi ketika tukar tayar kren

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi melengkapkan hasil siasatan.

Artikel Berkaitan:

"JKKP Perak memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

"Majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja," katanya.

Katanya, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam garis panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Pada 22 Jun lalu, seorang mekanik maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya dipercayai terkena besi yang terpelanting ketika menukar tayar kren di sebuah pusat penyelenggaraan tayar di Menglembu di sini