IPT tambah baik kurikulum pengajian selaras kehendak pasaran pekerjaan

Dr Edris
Dr Edris
A
A
A

SHAH ALAM - Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sentiasa diberi peluang menambah baik kurikulum program pengajian supaya bakal graduan boleh mengadaptasi diri sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam pekerjaan.

Pensyarah Program Kaunseling dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Malaysia di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Edris Aden berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi memberi nilai tambah kebolehpasaran graduan termasuk melakukan penilaian kurikulum melalui kajian pasaran daripada agensi luar.

Menurutnya, proses tersebut membolehkan IPT mendapatkan maklum balas daripada rakan strategik bagi mengubahsuai dan meningkatkan lagi penawaran kursus tertentu supaya relevan dengan kehendak industri semasa.

“Contohnya, terdapat kursus menggunakan pendekatan dua tahun di universiti dan setahun di industri (2U 1I) bagi memberi nilai tambah kepada bakal graduan supaya seiring dengan permintaan industri.

“Silibus pengajian perlu diubahsuai bagi memastikan graduan tidak mengikut silibus sediakala. Bagaimanapun pihak universiti perlu mengambil kira pandangan daripada industri dan rakan-rakan strategik,” katanya pada Program Bicara Alumni bertajuk 'Hala Tuju Kerjaya di Musim Covid-19: Isu dan Cabaran' secara dalam talian pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, sebanyak 85 program akademik di 20 IPTA di seluruh negara dilupuskan pada tahun lalu kerana dilihat tidak lagi relevan dan digantikan dengan program baharu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar berkata, daripada 85 program yang dilupuskan itu, 17 daripadanya melibatkan sarjana muda dan baki 68 program yang lain adalah sarjana serta doktor falsafah.

Artikel Berkaitan: