Pusat Khidmat DUN Permas tanggung kerosakan 20 rumah akibat ribut

Che Zakaria meninjau keadaan sebuah rumah yang rosak akibat dipukul ribut di Kampung Plentong Baru, Pasir Gudang pada Khamis.
Che Zakaria meninjau keadaan sebuah rumah yang rosak akibat dipukul ribut di Kampung Plentong Baru, Pasir Gudang pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas akan menanggung kos membaiki kerosakan 20 buah rumah yang dipukul ribut di Kampung Plentong Baru dan Jalan Permas 1/1, Pemas Jaya di sini pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, proses menilai kerosakan sedang dilakukan kerana kerugian setiap rumah terutama bahagian bumbung yang diterbangkan angin adalah berbeza.

"Terdapat pemilik rumah yang sudah membaikinya dengan perbelanjaan sendiri selain menerusi sumbangan atap daripada penduduk setempat.

"Bagi yang sudah membaiki kerosakan sendiri kita akan bayar kos mereka. Kita bantu mangsa ribut ini kerana rata-ratanya golongan B40 malah ada yang tidak dapat bekerja kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan menyampaikan sumbangan barang keperluan asas kepada mangsa ribut dan penduduk B40 di Kampung Plentong Baru di sini pada Khamis.

Dalam kejadian pada jam 5 petang Ahad, kira-kira 20 rumah di kawasan itu dipukul ribut hingga mengakibatkan bahagian bumbung dan perkakas rumah rosak.

Sementara itu, mangsa ribut, Samsul Salim, 37, berkata, angin kencang menerbangkan lebih 10 keping atap rumahnya.

"Saya mengambil inisiatif sendiri semalam (Rabu) dengan memasang atap baharu yang disumbangkan rakan dan penduduk kampung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Isa Ahmad, 59, pula mendakwa rumahnya paling teruk dipukul ribut apabila hampir semua atap diterbangkan angin kencang.

Semasa kejadian dia bersama isteri dan dua anak perempuannya berada di rumah ibu mentua di Kampung Air Putih, Kota Tinggi sebelum bergegas pulang ke rumah pada malam kejadian selepas dimaklumkan jiran.

"Saya tergamam apabila mendapati rumah saya hanya tinggal struktur bangunan, manakala bahagian atap sudah tidak ada," katanya.