Qatar anugerah pingat Al Wajbah kepada Duta Malaysia

Ahmad Fadil Shamsuddin, - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Duta Besar Malaysia ke Qatar, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, telah dianugerah Pingat Al Wajbah sebagai menghargai peranan beliau dalam mempertingkat hubungan dua hala oleh Timbalan Amir Qatar, Sheikh Abdullah bin Hamad Al-Thani, di Diwan Amiri di Doha pada Khamis.

Pingat Al Wajbah dianugerah kepada duta asing yang bertugas di Qatar, Timbalan Menteri dan ketua setiausaha pihak berkuasa tempatan serta individu yang layak sebagai mengiktiraf perkhidmatan mereka yang cemerlang.

Ahmad Fadil, yang berada di Doha sejak 2017 dan merupakan duta keempat Malaysia yang bertugas di Qatar berkata, beliau berasa bangga menerima anugerah itu dan menyifatkan bahawa hubungan antara Malaysia dan Qatar berada di landasan yang betul.

Beliau juga berkata, anugerah itu mencerminkan sokongan dan pengiktirafan negara tuan rumah terhadap usaha berterusan yang dilakukan oleh Kedutaan Malaysia di Doha dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Saya bangga untuk menyatakan bahawa hal ini telah dibuktikan dengan lebih lanjut menerusi pertukaran Iawatan peringkat tinggi yang kerap dilakukan antara kedua-dua negara,” kata Ahmad Fadil dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat Qatar pada 25 hingga 27 November tahun lepas yang disusuli lawatan kerja Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani ke Malaysia pada 5 hingga 7 Disember sempena Anugerah Kecemerlangan Pencegahan Rasuah Sheikh Tamim Ke-3.

Kedua-dua negara juga bersetuju menganjurkan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Peringkat Tinggi di peringkat ketua setiausaha Kementerian Luar kedua-dua negara dan Mesyuarat Perdagangan Bersama Kedua di Kuala Lumpur bulan depan.

Jumlah perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara telah menunjukkan perkembangan positif pada 2018 berbanding tempoh sama bagi tahun 2017, dan kerjasama dijangka terus berkembang menerusi Forum Ekonomi Islam Dunia ke-14 (WIEF) 2019 di Doha pada suku ketiga atau keempat tahun ini. - Bernama