Vaksin Covid-19: Tiada rakyat Sabah tercicir walaupun di pedalaman

Hajiji (dua, kiri) menyampaikan bakul makanan kepada penduduk Kampung Long Pasia, Pangiran Selutan (kanan) sambil disaksikan Ketua Kampung Long Pasia Yakub Sim, 64, (dua, kanan) pada Program Jiwa Murni Army Combat Medic Vacination Programme (ACMVP) untuk penduduk Kampung Long Pasia. - Foto Bernama
Hajiji (dua, kiri) menyampaikan bakul makanan kepada penduduk Kampung Long Pasia, Pangiran Selutan (kanan) sambil disaksikan Ketua Kampung Long Pasia Yakub Sim, 64, (dua, kanan) pada Program Jiwa Murni Army Combat Medic Vacination Programme (ACMVP) untuk penduduk Kampung Long Pasia. - Foto Bernama
A
A
A

SIPITANG - Kerajaan negeri Sabah memastikan tiada rakyatnya tercicir dalam usaha pemberian vaksin Covid-19 walaupun mereka tinggal jauh di pedalaman Negeri di Bawah Bayu itu, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, sebagai kerajaan yang dipilih oleh rakyat adalah menjadi tanggungjawab serta amanah kerajaan negeri Sabah untuk melindungi rakyat, justeru pihaknya akan berusaha sedaya upaya memberikan vaksin walau berdepan cabaran terutama logistik dan kurang pemahaman mengenai vaksin tersebut.

Hajiji berkata, program vaksinasi di Long Pasia di sini melalui Program Jiwa Murni, Army Combat Medic Vaccination Programme (ACMVP) adalah contoh kerjasama pelbagai pihak bagi merealisasi semua rakyat Sabah mendapat akses kepada vaksin Covid-19 walaupun berada jauh di pedalaman.

"Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan rakyat terima vaksin, kita tidak kira di mana mereka berada, ada tinggal jauh seperti di Long Pasia ini kita akan beri kemudahan (vaksin Covid-19) kepada mereka.

"Kita bawa vaksin untuk mereka ke sini yang memenuhi keperluan dan boleh digunakan rakyat kita di kawasan ini, saya lihat sambutan daripada penduduk kampung di sini amat menggalakkan dan mereka datang ramai-ramai dapatkan vaksin," katanya pada sidang akhbar di Long Pasia di sini pada Khamis.

Program Jiwa Murni ACMVP adalah program kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Sabah untuk memberi suntikan vaksin di kawasan pedalaman, dan program selama dua hari di Long Pasia bermula Khamis menyasarkan pemberian 500 dos vaksin kepada penduduk.

Long Pasia terletak di kawasan pedalaman Sabah menempatkan kira-kira 700 penduduk terletak sekitar 300 kilometer dari barat daya Kota Kinabalu, dan juga terletak 1,000 meter atas paras laut di kawasan tanah tinggi Maligan.

Hajiji yang melihat sendiri proses vaksinasi dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Long Pasia itu berkata lebih banyak program kerjasama sebegini diharap dapat dilaksanakan di daerah lain bagi mempercepat usaha pemberian vaksin di Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga semalam lebih 350,000 orang menerima vaksin dan kita berharap dapat melihat sasaran 30,000 orang yang diberi vaksin setiap hari mulai bulan Julai ini," katanya yang turut mengumumkan peruntukkan RM570,000 bagi pembinaan dua jambatan gantung serta kemudahan awam lain di kawasan itu.

Sementara itu, Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berkata, program hari ini adalah Program Jiwa Murni ACMVP pertama di Sabah dan ATM akan meneruskan program tersebut untuk penduduk pedalaman di daerah Tongod, Nabawan dan Semporna tahun ini.

"Program ini penting bagi kita membantu mencapai imuniti berkelompok disasarkan kerajaan iaitu 80 peratus rakyat divaksin, kita menghantar seorang pegawai perubatan bersama lapan anggota vaksinator, kita juga gembira dapat bergerak bersama semua agensi dalam mencapai misi imunisasi rakyat ini," katanya. - Bernama